Enjoy Song

Friday, 22 November 2013


CINTA!!
Manusia hidup kerana cinta, boleh jadi mati pun kerana cinta. CINTA itu hadir dalam diri setiap manusia tanpa mengenal siapa, rupa dan usia. Orang yang dilamun cinta hidupnya selalu dipanggang resah gelisah, siang dan malam terasa begitu lambat bertaut,  kalau boleh ingin bersua selalu untuk melepaskan rindu di kalbu. Begitulah gambaran mereka yang dilamun perasaan cinta. Namun hidup ini tidak selalunya indah bahagia seperti  yang diharapkan tetapi kadang-kadang derita yang menjelma. Cinta  merupakan perasaan dan fitrah yang menjiwai naluri setiap manusia. Cinta itu indah dan ianya sukar untuk dimengertikan dan sukar untuk dilafazkan dengan kata- kata.
Cinta adalah satu anugerah yang amat bernilai dari Allah s.w.t kepada hambanya. Cinta adalah fitrah manusia, dan disebabkan itu ramai yang cuba membuat kesimpulan makna sebenar cinta. Cinta mempunyai sifat- sifatnya yang tersendiri dan cinta bukan hanya cinta kepada seorang insan yang bergelar kekasih malahan cinta itu merangkumi seluruh kehidupan. Cinta merupakan satu  amanah dari Allah s.w.t. Selain dari amanah untuk menyayangi, merindui dan mengasihi, ia juga merupakan amanah untuk kita sentiasa meredhai apa yang ditentukan oleh Allah s.w.t  tidak kira samada baik ataupun buruk, tidak kira samada bersatu ataupun berpisah. Tanggungjawab kita ialah mencintai atau menunaikan amanah yang telah dikurniakan oleh Allah s.w.t semata-mata. Samada orang yang kita cintai itu menerimanya atau tidak itu bergantung kepada qada dan qadar Allah semata-mata. Manusia sering mengakui mencinta pasangannya dengan ikhlas namun hakikatnya mereka sedang menipu diri sendiri kerana keikhlasan bukanlah rasa cinta yang jujur kepada seseorang tetapi ikhlas ialah melakukan sesuatu kerana Allah tanpa mengharapkan balasan daripada manusia.
Pertembungan antara cinta hakiki dengan cinta palsu menyebabkan manusia menghadapi dilema perasaan yang kronik. Krisis cinta palsu telah menyebabkan manusia memusnahkan etika spritual seperti memecahkan perpaduan masyarakat dan menodai sosial sehingga ada yang sanggup membunuh orang lain dan membunuh diri akibat daripada tekanan perasaan yang sukar untuk dikawal. Kita diwajibkan mencintai Allah s.w.t melebihi segala-galanya dalam dunia ini. Selepas itu kita perlu mencintai Rasulullah melebihi cinta kita kepada diri sendiri. Samada kita suka atau tidak, kita akur ataupun ingkar, itulah amanah cinta pertama yang perlu kita lakukan. Selain daripada itu, mencintai, menyayangi dan mengasihi ibu bapa kita. Kita perlu berbuat baik kepada mereka, mentaati mereka, sentiasa berdoa dan menghormati mereka. Apabila Allah temukan kita dengan seseorang yang kita cintai, kita bertanggungjawab untuk tidak mengkhianatinya, jaga kehormatannya, khabarkan kepadanya tentang cinta Allah dan tidak mengharapkan sebarang balasan melainkan kehendak untuk bersama (kahwin) demi mencari keredhaan dari Allah. Jika tidak dapat bersama kita tidak akan melukakan hatinya dan tidak akan memutuskan tali persahabatan dengannya. Selain itu kita juga perlulah mencintai alam semesta kita haruslah sama- sama menjaga kurniaan Nya.
Sebagai manusia kita perlu mencintai alam ciptaan Allah, bukan menghancurkannya. Tetapi sikap rakus manusia yang tidak amanah dalam menjaga alam kurniaan Allah ini telah menghancurkan dunia ini sedikit demi sedikit. Selain itu, kita juga haruslah mencintai ilmu yang kita pelajari. Ilmu itu haruslah sentiasa digunakan untuk kehidupan yang lebih sempurna agar kita sentiasa berada dilandasan yang di redhainya.  Sesungguhnya cinta yang ditolak bukanlah suatu penyiksaan dari manusia tetapi ujian dari Allah. Kita perlu amanah dalam mencintai diri sendiri, usah biarlah diri hancur dimusnahkan dengan cinta manusia yang bersifat sementara.
Penulis: NINA AISHAH BINTI RAMALI
Matrik: BC 12160190
 

 

 

No comments:

Post a Comment