TAJUK: CERPEN “AKU BUKAN PELACUR”
YA
ALLAH, sesungguhnya aku adalah insan yang lemah, Aku tahu sekarang aku bukan
lagi insan yang suci. Hidup aku semakin di mamah kejahilan oleh kerana sikap
aku sendiri. Aku membiarkan diri aku hanyut dalam kegelapan. Aku tidak tahu
bagaimana untuk merubah hidup aku, sedangkan nafsu binatang itu terus menerus
menggoda aku dan bersarang dalam sukmaku. Bukan salah sesiapa, aku akui semua
punca datang daripada aku sendiri yang tidak pernah puas untuk melakukan
sesuatu yang di murkai. Aku membiarkan nafsu celaka itu bermaharajalela dalam
diri aku, aku membiarkan diri aku tersungkur di dalam lembah kehinaan. Sampai
bila?? Soalan itu selalu menyelinapi ruang kotak fikiranku. Hidup aku sudah
tidak keterbatasannya, kemana hilang agama aku??? Ke mana hilangnya maruahku
sebagai seorang perempuan??? Mahkota yang selama ini bermati- matian aku
pertahankan telah pun gugur dipersada kehinaan dan kekejian. Bagaimana suatu
hari nanti aku harus berhadapan dengan seorang arjuna, yang bakal menjadi
pemimpin aku?? Apa hadiah yang harus aku berikan di malam pertama nanti??? Maafkan
aku, kerana kegagalan aku untuk mempertahankan mahkota untuk dihadiahkan kepadamu
wahai arjunaku. Benar kata orang,
cinta itu buta! Kerana Cinta boleh merubah kehidupan alam semesta. Cinta adalah
sesuatu yang aneh, kerana ia akan melahirkan sesuatu yang sukar untuk aku
perjelaskan, hanya orang yang pernah melaluinya akan merasai keanehan itu.
Bagaimana cinta itu tumbuh?? Aku sendiri masih meraba- raba jawapannya. Cinta
mempunyai banyak musim, cinta bukan juga hanya berfokuskan kepada cinta sesama
manusia. Cinta kepada Allah adalah lebih indah dari mencintai sesuatu yang
lain. Namun masih ada juga insan seperti aku yang telah memperjudikan maruahnya
demi kerana cintanya kepada insan yang belum tentu menjadi pandu arah kepadanya
suatu hari nanti. Mulut lancang sekali berkata- kata, namun belum tentu dapat
dilaksanakan. Maksud aku, kita hanya dapat merancang, tapi tuhan yang
menentukan. Mungkin apa yang telah menghempas hidup aku, adalah takdir untuk
aku. Takdir yang telah ditentukan olehNya semenjak azali. Pada siapa yang harus
aku persalahkan??? Takdir yang telah ditetapkan?? Ibu Bapa yang telah
mengabaikan tanggungjawabnya?? Si dia yang telah menciptakan noktah hitam dalam
kamus hidup aku?? Atau salah aku sendiri yang mencintai si dia dengan membabi
buta?? Alang- Alang menyelup perkasam biarlah sampai kepangkal lengan. Hidup
aku sudah tiada maknanya lagi segalanya telah hancur, tiada apa yang harus aku
pertahankan lagi, biarlah aku hanyut dalam dunia khayalan, dunia yang telah aku
ciptakan sendiri. Bagi aku adanya si dia telah cukup untuk membuatkan aku
gembira.
Masih segar dalam ingatan saat pertama kali aku
mengenali si dia, aku merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan diri aku.
Ada sesuatu yang telah mengetuk pintu hati aku dan membuatkan hati aku rasa
teringin untuk mengenalinya dengan lebih dekat. Namun aku cuba untuk melawan
perasaan itu, semakin aku mendekatinya semakin aku rasa sesuatu yang aneh dalam
diri aku. Apakah ini yang dikatakan cinta??? Sikapnya yang mesra alam itu,
menjadikan dia mudah didekati. Aku mula memerhatikan cara dia, cara pertuturan
dia dan sikap dia. Bagi aku dia adalah seorang lelaki yang bukan calang- calang
orang. Ada sesuatu yang membezakan dia dengan orang lain. Aku mula mendekatinya
dengan perlahan- lahan, melihatnya dari jauh dan pada suatu hari tanpa aku duga
dia menyapa aku dengan mesranya. Semenjak dari itu, aku dan dia selalu
berkongsi suka dan duka. Dia pernah mengatakan yang dia hanya menganggap aku
tidak lebih daripada seorang adik dan dia memberikan aku penjelasan yang kukuh,
dia membuat pengakuan bahawa cintanya telah di miliki seseorang. Sikap jujurnya
membuatkan perasaan aku semakin sayang padanya dan sukar untuk aku menerima
hakikat bahawa hatinya sudah berpenghuni. Aku tertanya- tanya siapakah
perempuan yang bertuah itu?? Ingin sekali aku mengenalinya. Apakah keistimewaan
perempuan itu, sehinggakan dia dapat merasuki jiwa Fiq???.
Terlalu sulit bagi aku untuk
menghadapi situasi seperti ini, bagaimana harus aku kikiskan perasaan cinta ini
terhadap Fiq??? Mana mungkin perasaan cinta dapat di semaikan di dalam jiwa
yang telah ada pemiliknya, dia
menganggap aku tidak lebih daripada seorang adik. Aku berperang dengan perasaan
aku sendiri, bermacam- macam dugaan yang terpaksa aku tempuhi. Aku cuba untuk
menjauhinya dengan perlahan- lahan, tetapi semakin aku menjauh perasaan cinta
ini semakin kuat terhadapnya. Hidup aku mula di landa tsunami rindu, aku mula
di sihiri cinta yang tiada jawapan. Aku buntu, perlukah aku merayu untuk
menembusi tembok hati sanubarinya ataupun aku harus menanti dan terus menanti
tanpa jemu??? akhirnya aku terpaksa mengikut arus. Fiq merupakan seorang yang
agak periang di Kolej dan dengan sikap periangnya itu, ramai si dara yang jatuh
cinta kepadanya. Namun yang menjadi kebanggaan aku, dia adalah seorang yang
setia dan tidak mudah rebah dalam pelukan wanita- wanita yang cuba untuk
menggodanya. Fiq telah menjerat aku ke dalam sangkar cintanya, aku tidak mampu
untuk membuang cinta yang telah lama bersarang di dalam hati aku. Setelah dua
tahun berlalu, aku cuba untuk mendekati lelaki lain dengan harapan perasaan aku
terhadap Fiq akan lenyap di mamah masa. Aku kuatkan hati untuk menerima lelaki
lain sebagai arjuna dalam sukmaku, namun ternyata hati aku tidak dapat menerima
lelaki lain sebagai penghuni hati aku. Mengapa? Mengapa ini harus terjadi???
aku hilang arah. Setelah aku tamat pengajian,
aku perlahan- lahan mula melabuhkan tirai, aku mula menjauhkan diri dari
Fiq. Tanpa aku duga, selepas satu tahun berlalu
aku telah mendapat panggilan daripada Fiq.
FIQ-
Assalamualaikum, boleh saya bercakap dengan Shasya?
SHASYA-
Waalaikumussalam, ya, Shasya bercakap. Boleh saya tahu siapa yang bercakap tu?
FIQ-
Boleh… Abang Fiq ni... Ermm lama tak jumpa dengan adik, adik sihat ke?
Aku terdiam seketika, hati aku
berdegup kencang, darah mula menyelinap seluruh urat sarafku. Aku bagaikan
tidak percaya yang aku menerima panggilan dari Fiq. Pada waktu itu, hampir tiga
jam kami bersembang, terasa begitu cepat masa berlalu. Fiq telah menceritakan
perihal dia dan bekas kekasihnya yang telah berpaling arah kepada lelaki lain
dengan alasan Fiq tidak mampu untuk memberikan dia kebahagiaan. Sungguh aku
bersimpati di atas kekecewaan yang dia alami. Semenjak hari itu, aku dan Fiq
kembali mesra seperti mana mula- mula kami kenal sewaktu dahulu. Kecurangan
perempuan itu, telah memberikan sinar baru dalam hidup aku. Fiq mula mengambil
berat tentang diri aku, cinta yang aku tanamkan di jauh sudut hati aku dahulu
kini perlahan- lahan timbul ke dasar, cinta yang dahulunya aku anggap mimpi
kini hampir menjadi realiti. Semakin lama, perasaan cinta Fiq terhadap aku
semakin jelas. Aku dapat rasakan panahan cintanya yang bisa menggongcangkan
hati sesiapa saja. Namun, aku cuba untuk menafikan perasaan itu, kerana aku
takut.. aku takut cinta aku bertepuk sebelah tangan. Aku tidak mengharapkan
cinta darimu Fiq, bagi aku cukuplah aku menjadi bicaramu disaat kau hampir
rebah tersungkur. Setelah hampir dua tahun Fiq kembali mengharungi suka duka
bersama aku, Fiq mengajak aku untuk bertemu dengannya, tanpa bantahan aku
memberanikan diri untuk menemui Fiq.
FIQ-
Shasya, makin cantik ea sekarang..
SHASYA-
Eh! (malu- malu) mana ada, macam dulu- dulu juga, tak ada yang berubah pun.
FIQ-
Macam dulu- dulu??? (tersenyum)
SHASYA-
Aik, kenapa senyum??? Betul la
FIQ-
Macam mana pula dengan hati Shasya???
SHASYA-
(berpura- pura tidak faham) Kenapa dengan hati Shasya??? Shasya ok je..
Tanpa aku duga, Fiq perlahan- lahan
memegang tangan aku dan merenung jauh kedalam mata aku. Renungan matanya telah
menusuk masuk ke dalam mata hati aku, dari sinar matanya aku dapat membaca apa
yang ingin dia katakan. Fiq mula berbicara dengan bahasa cinta, Aku cuba untuk
menepis setiap kata- katanya, namun kata- katanya itu telah membawa aku melayang
jauh ke bima sakti. Rindu aku terhadap Fiq semakin menebal, mungkin aku boleh
menipu sesiapa sahaja tapi tidak pada hati aku. Cinta aku terhadap Fiq tidak
pernah berubah, tidak pernah bergongcang dan tidak sedikitpun berkurangan malah
ianya semakin melebat seperti hujan yang turun di musim tengkujuh. Aku jatuh
cinta buat kali keduanya kepada orang yang sama, namun situasi yang berlainan.
Kalau dulu cinta aku tidak di pedulikan, tapi kini Fiq mengangungkan cinta aku,
Fiq melayan aku umpama puteri kayangan. Aku mula hanyut dalam lautan cinta yang
telah di ciptaan oleh dua hati yang saling mencintai. Masih aku ingat, waktu
mula- mula Fiq membawa aku menemui kedua orang tuanya. Mereka melayan aku
begitu mesra sekali, setiap minggu Fiq akan membawa aku menemui orang tuanya
dan menolong ibunya memasak, kemudiannya kami makan bersama- sama. Aku
merasakan seolah- olah aku telahpun menjadi sebahagian daripada keluarga Fiq,
dan keluarga aku turut menerima kehadiran Fiq di dalam keluarga kami. Setelah
tiga tahun berlalu Fiq melamar aku, dalam diam dia telah pun merisik aku dan
kami di ikat. Kini aku telah pun menjadi tunang kepada Fiq. Sebulan kemudian
Fiq telah mendapat tawaran bekerja di sebuah syarikat yang besar di Kuala
Lumpur. Aku merasa amat gembira dengan rezeki yang Allah berikan kepada Fiq.
Aku tidak sabar- sabar untuk diijab kabulkan. Aku menunggu dan terus menunggu
kepulangan Fiq, setiap bulan Fiq pasti balik menjenguk aku dan juga
keluarganya. Setelah beberapa bulan berlalu, sikap Fiq mula berubah dia mula
melemparkan bermacam- macam alasan untuk tidak menghubungi aku. Dia mula menunjukkan
sikapnya yang bengis. Setiap kali aku menghubunginya ada sahaja benda yang
tidak kena, ada saja benda yang ingin di cacinya. Aku mula merasa gelisah siang
dan malam, bermacam- macam persoalan yang bermain di fikiran aku. Apakah
penyebab yang merubah Fiq secara mendadak??? Apa salah aku??? Aku kebingungan
sendiri. Hampir tiga hari aku tidak makan, sikap murungku mula dihidu oleh
kedua orang tua aku. Bermacam- macam persoalan yang mereka lemparkan kepada
aku, namun aku hanya diam membisu. Aku tidak tahu apa yang ingin aku jelaskan
kepada mereka. Aku malu… aku takut…. Sejujurnya aku tidak rela di tinggalkan
oleh Fiq kerana segala- galanya telah aku serahkan kepada Fiq. Tidak pernah
terlintas difikiran aku yang Fiq akan berubah hanya dalam sekelip mata, sungguh
perih yang aku rasakan. Bagaimana harus aku menghadapi semua ini??. Bermacam-
macam cemuhan yang singgah di telinga aku, aku cuba meyakinkan hati aku bahawa
dia bukanlah seperti lelaki- lelaki di luar sana yang hanya tahu menabur benih
dan dengan mudahnya menghilangkan diri tanpa memikirkan perasaan hati seorang
wanita. Hati aku berteriak dalam pedih, bukan mudah untuk aku mempercayai kata-
kata orang yang belum aku kenal hati budinya. Aku mengambil keputusan untuk
pergi ke Kuala Lumpur tanpa pengetahuan Fiq. Pada mulanya kedua orang tua aku
menghalang aku untuk ke Kuala Lumpur dengan alasan aku masih mentah dan mereka
tidak mahu sesuatu yang buruk terjadi kepada aku. Mereka tidak tahu, hati aku
kini berselerakan, meraung kepedihan yang tidak terhingga. Setelah aku sampai
di Kuala Lumpur aku di temani oleh rakan sekolah aku suatu tika dahulu iaitu
Amira. Amira banyak membantu aku sepanjang aku berada di Ibu Kota. Aku
menumpang di rumah Amira untuk beberapa hari. Aku mencari dan terus mencari
nama syarikat tempat Fiq mencari rezeki, akhirnya aku jumpa, dengan penuh
harapan aku memperlahankan langkah menuju ke kaunter pertanyaan sambil melihat name tag yang melekat di baju seorang
gadis cantik yang duduk di kaunter pertanyaan.
Shasya-
Maaf Cik Adira, boleh saya berjumpa dengan Muhammad Taufiq bin Kamaruddin?
Cik
Adira- Ooo boleh saya tahu cik ni siapa?
Shasya-
Saya kawan Fiq, saya ada hal yang mahu di bincangkan sedikit.
Cik
Adira- Maaf cik, En. Taufiq baru saja keluar bersama dengan teman wanitanya.
Saya tidak pasti dia akan masuk pejabat balik atau tidak. Untuk pengetahuan cik
hari ini dia habis kerja awal kerana ada urusan peribadi. Kalau cik mahu jumpa
dia datang saja besok pagi.
Shasya-
Baiklah, terima kasih, saya minta diri dulu
Cik
Adira- Baiklah sama- sama.
Betapa hancur dan berkecainya hati
aku, aku langsung tidak menyangka yang Fiq sekejam itu, empangan airmata mula
berkocakan, hati ini mula berlagu pilu. Aku menangis dan terus menangis di
pangkuan Amira, Amira turut merasakan kesedihan yang aku alami Amira memeluk
aku dengan eratnya dan cuba untuk meredakan tangisan aku. Aku cuba mencari
rumah Fiq berdasarkan alamat yang pernah dia berikan kepada aku sewaktu
bahagia. Bila aku sampai di hadapan rumah Fiq, hati aku seperti di robek- robek
kerana melhat kemesraan antara mereka. Aku tidak menyangka di sebalik rumah
yang berdiri megah itu, penghuninya adalah syaitan. Tubuh aku kaku, lidah aku
kelu untuk berkata- kata. Airmata mula mengalir deras seperti air terjun yang
jatuh dari gunung. Aku melihatnya dari luar pintu jaring tanpa berganjak, dia
langsung tidak sedar akan kehadiran aku. Aku hanya memerhati gerak gerinya,
sesampai ia di pagar untuk membuka pintu, dia seperti ternampak hantu riak
wajahnya berubah begitu ketara, tiada lagi keceriaan yang terlihat di wajahnya
yang tampan itu.
FIQ-
Shasya! Bila awak datang??? Awak datang dengan siapa?
SHASYA-
Fiq… siapa perempuan tu?? Kenapa Fiq buat macam ni?? Apa salah Shasya???
FIQ-
Shasya awak balik la dulu, nanti kita jumpa saya sibuk ni..saya mahu keluar.
SHASYA-
Fiq! Jawab dulu saya tanya, siapa perempuan tu???
Terdengar suara manja dari dalam
kereta yang memanggil nama Fiq dengan panggilan ‘sayang’, masih terngiang-
ngiang di telinga aku. Tanpa penjelasan dari Fiq aku sudah memahami siapa
perempuan itu dihati Fiq, ternyata apa yang aku dengar selama ini benar belaka.
Betapa rapuhnya cinta kita Fiq, kenapa kau sentuh hati aku sedangkan kau tidak
mencintai aku. Kenapa kau sentuh jasad aku?? Kenapa kau yakinkan hati aku,
bahawa kau mencintai aku? Tergamaknya kau Fiq mempermainkan cinta aku, kau memperkotakkatikkan
aku. Hati aku tidak putus- putus berdoa agar Allah membuka pintu hatimu untuk
berubah. Kau sebagai tunang aku sepatutnya menjaga aku, bukannya membunuh jiwa
aku. Aku terlalu mencintaimu Fiq, tiada siapa yang dapat gantikan tempat kau di
hati aku. Mengertilah sayang, hati aku, jiwa aku dan diri aku hanya milikmu dan
aku yakin diri aku di cipta hanya untuk kau Fiq, untuk kau bukan untuk orang
lain. Tiap saat aku menunggu kau menghubungi aku, aku mahukan penjelasan dari
kau, aku mahu kau tepis segala kekusutan yang ada dalam kotak fikiran aku.
Setelah hampir satu minggu, aku
telah mendapat panggilan dari Fiq dan dia mahu menemui aku, hati aku sedikit
terubat. Bila aku sampai di tempat yang di janjikan, langkah aku terhenti
apabila melihat dia bersama dengan seorang gadis yang cantik dan seksi. Hati
aku berbelah bagi untuk meneruskan perjalanan atau tidak kerana jika aku tidak
menemui Fiq hari ini, sampai bila harus aku berendam air mata??? Aku terlalu
ingin mendengar penjelasan darinya. Dengan hati yang pasrah aku meneruskan
perjalanan, sesampainya aku di sisinya dia terkejut dan memperkenalkan aku
kepada perempuan yang telah merosakkan hubungan kami. Telah aku jangkakan semua
ini akan berlaku, Fiq memberi penjelasan yang langsung tidak masuk akal, dia
mengatakan yang dia tidak boleh berjauhan dengan orang yang dia sayang, kerana
hatinya mudah sekali berubah. Fiq mahukan perempuan yang selalu ada di
sampingnya, perempuan yang boleh menyerahkan segalanya- galanya bila- bila
masa sahaja dia mahukan. Tidak aku
menyangka di sebalik wajah bersihmu, kau mempunyai hati yang kotor Fiq!!! Kau
langsung tidak menghargai susah payah yang telah aku tempuhi, pengorbanan demi
pengorbanan terbakar aku sendirian, aku umpama dian yang menyinari malam dan
kegelapan. Sanggup kau memperjudikan cinta yang aku pertahankan selama ini
terhadapmu. Mahu saja aku lapah perempuan itu, kerana dialah punca segala-
galanya, dia telah merubah pantai yang selama ini indah berseri. Aku pasrah
walaupun parah, aku terima kata putus yang Fiq ungkapkan, aku hormat
keputusannya. Lalu aku undurkan diri, kerana sudah tidak sanggup lagi melihat
dirimu telah pun ditawani insan yang lain sehingga aku rasa disisihkan. Aku
yakin kau akan mendapat pembalasan yang setimpal dengan perbuatanmu. Aku
percaya hukum karma!!!.
Dari jauh aku melihat di halaman
rumah aku begitu ramai sekali orang, biasalah ibu aku itu seorang yang rajin,
dia selalu menjamu orang- orang kampung. Bila aku sampai di hadapan tangga
rumah aku, aku mendengar sayu- sayu
tangisan seorang kanak- kanak lelaki, aku kenal suara itu! Suara itu milik adik
lelaki aku. Tanpa berfikir panjang aku
terus melangkah tangga. Jantung ini bagai terhenti seketika disaat aku melihat
sekujur badan yang kaku di sebalik kain kafan. Aku perlahan- lahan menghampiri
tubuh yang kaku itu, Aku mendengar tangisan yang semakin dekat dengan aku dan
aku merasakan ada seseorang memeluk aku dari belakang, dunia aku menjadi gelap
serta merta, lidah aku kelu untuk berkata- kata, aku bagaikan tidak percaya
tubuh yang kaku itu adalah ibu aku, ibu yang telah melahirkan aku, ibu yang
telah membesarkan aku. Ya Allah ujian apakah ini? Mengapa kau rampas semua
orang yang aku sayang? Aku tidak kuat lagi Ya Allah!! Kemana harus aku curahkan
kekecewaan ini? Aku terus memeluk erat tubuh kecil adik lelaki aku. Aku cuba
untuk menenang adik lelaki aku, namun aku gagal dan aku membiarkan saja dia
menangis semahu- mahunya. Tiba- tiba ada seorang lelaki yang memukul aku dari
belakang. AYAH: Dasar anak sial! Kenapa kau balik lagi di rumah ini?
SHASYA:
Maafkan saya ayah… kenapa dengan ayah ni??
AYAH:
Sekarang puas la hati kau kan?? Mak kau dah meninggal, semua ini salah kau!!
Salah kau!!!
SHASYA:
Ya Allah… mengucap ayah, mengucap!!! Semua ini dah suratan takdir ayah…
AYAH:
Suratan takdir kepala otak kau!! Kau ingat tak janji kau dengan arwah mak kau,
sebelum kau pergi ke Kuala Lumpur??? Ingat???
SHASYA:
Shasya ingat ayah, Shasya ingat!! Dengar la dulu penjelasan Shasya… Shasya
bukan mahu pergi lama, tapi Shasya ada urusan yang mahu di selesaikan di sana.
AYAH:
kenapa kau tak hubungi arwah mak kau ?? kenapa kau menghilang tanpa berita?!
Arwah mak kau selalu menangis kerana dia risaukan kau!!
SHASYA:
Ayah maafkan saya, saya bukan sengaja mahu buat mak risau.. tapi saya tidak
mahu mak risau bila mak tahu keadaan saya..
AYAH:
Alasan yang bodoh!!! Kau berambus dari rumah aku!! Kau tahu tak, mak kau
meninggal dalam kemalangan semasa dalam perjalanan untuk ke Kuala Lumpur. Pergi
semata- mata untuk mencari engkau!
Tersentap hati aku mendengar kata-
kata terakhir ayah, aku diburu rasa bersalah semua orang menunding jari kepada
aku, semua tidak henti- henti menyalahkan aku. Apa yang harus aku lakukan?.
Hanya Allah sahaja yang mendengar jeritan batinku, aku sudah tiada pilihan
selain pergi meninggalkan rumah kesayanganku, rumah yang telah memberikan
seribu satu kenangan. Sungguh berat hati aku untuk meninggalkan rumah yang aku
anggap seperti syurga. Hati aku bertambah pilu apabila adik lelaki aku
memanggil- manggil nama aku sambil menangis tersedu- sedu. Tanpa menoleh aku
teruskan perjalanan, aku tidak sanggup untuk melihat tangisan itu. Aku berjalan
dan terus berjalan tanpa arah tujuan,
fikiran aku buntu. Akhirnya aku mengambil keputusan untuk pergi ke Kuala
Lumpur untuk mencari pekerjaan, aku harus berdikari, berdikari demi mencari
sesuap nasi. Aku di tawarkan untuk bekerja di Restoran Balqis berdekatan dengan
rumah sewa aku di Kuala Lumpur, aku menerima tawaran itu sementara mencari
pekerjaan yang lebih baik. Sikap peramah salah seorang daripada pekerja di
situ, mengimbaukan kembali kenangan aku dan Fiq. Walaupun Fiq telah merobek-
robekkan jantung aku, namun ternyata aku masih lagi mencintainya. Aku terus
melayan perasaan aku yang semakin bercelaru, lalu lamunan aku terhenti apabila
ada seorang lelaki tampan menyapa aku.
FAKRI:
Hey!! Kuatnya mengelamun.
SHASYA:
(Terkejut dan pura-pura jual mahal) Apa hey- hey??, awak ni tak ada adat
ke?bagi la salam dulu nak tegur tu.. terkejut saya…
FAKRI:
Amboi garangnya…
Lalu
Tina salah seorang pekerja di Restoran Balqis menarik tangan aku.
TINA:
Maaf bos.. nama dia Shasya, pekerja baru di Restoran ini.
SHASYA:
Ahh.. (tergagap- gagap) maafkan saya tuan saya tak tahu tuan ni bos di sini.
FAKRI:
(tersenyum) tak apa.. jangan panggil saya tuan, panggil saya Fakri saja.
SHASYA:
Baiklah… En. Fakri. (tersenyum)
Semenjak hari itu, Fakri selalu
pergi ke Restoran itu, Tina memberitahu aku perangai Fakri tidak sama macam
sebelum ini. kalau dulu dia hanya datang sekali saja dalam satu bulan, itu pun
kerana mahu memberi gaji dan mengira buku akaun. Aku mengabaikan kata- kata
Tina itu, kerana aku tidak mahu membahaskan perihal itu, aku tahu apa maksud
Tina yang sebenarnya namun aku berpura- pura tidak mengerti. Hari demi hari
Fakri selalu memerhatikan aku dari jauh, sehingga ada rakan- rakan aku yang
juga turut perasaan sikap Fakri yang semakin aneh itu. Semasa aku pulang dari
bekerja, aku terjumpa sehelai kertas yang terselit di celah pintu pagar rumah
aku. Aku membaca isi dalam surat tersebut, aku terkejut kerana ada seseorang
yang ingin menemui aku tanpa memberitahu namanya. Aku mengabaikan surat itu
kerana aku menyangkakan ini perbuatan Tina yang sengaja ingin mengenakan aku.
Tapi bila aku menanyakan perihal itu kepada Tina, dia langsung kebingungan, aku
faham riak mukakan menunjukkan yang dia tidak tahu menahu hal tersebut. Tina
ingin mengetahui dengan lebih mendalam tentang apa yang aku maksudkan. Aku
hanya mendiamkan diri dan berlalu kerana aku tidak mahu sesiapa tahu, aku
sendiri yang akan siasat siapakah lelaki misteri itu yang selalu melayankan
surat untuk aku. Aku memberanikan diri untuk pergi ke tempat yang selalu dia
ingin menemui aku. Aku sampai di situ dan melihat tiada sesiapa pun yang berada
di situ, hampir setengah jam aku berada di situ, aku bangun dari bangku untuk berlalu
dari situ. Bila aku menoleh ke belakang hampir gugur jantung aku, kerana melihat
Fakri yang berdiri di belakang aku.
SHASYA:
Eh! En. Fakri. Buat apa di sini???
FAKRI:
Kenapa awak terkejut? Awak tu buat apa di sini sorang- sorang?
SHASYA:
ermmm ermmm.. tak ada apa- apa la saya saja je jalan- jalan dekat sini.
FAKRI:
Ye ke?? Ke awak tunggu seseorang?
SHASYA:
Eh! Mana ada…
FAKRI:
Cantik kan tempat ini Shasya???
SHASYA:
Ea.. sungguh cantik…
FAKRI:
Tapi cantik awak lagi..
SHASYA:
(malu- malu) mana ada.. mengarut saja En. Fakri ni. Ermm.. En. Fakri pula buat
apa dekat sini??
FAKRI:
(Tersenyum) menunggu pujaan hati saya yang selalu menembusi mimpi saya. Setiap
saat dia hadir dalam igauan saya, saya sudah tidak mampu untuk menyembunyikan
perasaan saya terhadapnya. Ingin sekali saya persuntinkan dia menjadi
permaisuri di taman hati saya.
Aku terkejut dengan kata- kata Fakri
kerana kata- kata itu juga terpapar di antara surat- surat yang aku dapat.
Ternyata Fakri yang selama ini memberikan aku lembaran surat cinta, dialah
lelaki misteri itu. Fakri ingin menemui kedua orang tua aku, dia ingin melamar
aku untuk menjadi permaisuri hidupnya. Terlalu awal bagi aku untuk berkahwin
dengan Fakri, belum sempat aku mengenal hati budi Fakri dengan lebih mendalam.
Aku menceritakan segalanya perihal aku, aku tidak mahu dia menyesal di kemudian
hari nanti.
Tiga tahun sudah berlalu, aku kini
telah bersekedudukan dengan Fakri. Aku tinggal bersama Fakri di Rumah Banglo
milik Fakri, kami bagaikan suami isteri. Aku mulakan hidup baru dengan penuh
kasih sayang. Aku bahagia menjadi kekasih Fakri dia melayan aku dengan penuh
kasih sayang, dia ternyata seorang yang sangat romantik. Aku menjalankan
tanggungjawab seperti seorang isteri, aku cuba untuk tidak menyakitkan hati
Fakri jauh sekali berlaku curang. Kehadiran Fakri di dalam hidup aku umpama
rembulan yang menyinari kegelapan malam yang memberi sinar harapan kepada aku
untuk berjuang meneruskan hidup di alam fana ini. Aku sangkakan panas sampai ke
petang rupa- rupanya hujan di tengahari. Kebahagian aku hancur berkecai dengan
sekelip mata apabila aku mendapat tahu tentang Fakri yang telah menghidap
penyakit barah otak yang agak kronik. Fakri kini terlantar di hospital. Aku
tidak putus- putus berdoa siang dan malam agar Allah menyelamatkan Fakri
biarpun aku tahu doaku ini tidak layak untuk dimakbulkan, sesungguhnya aku
tidak sanggup kehilangan satu- satunya orang yang aku sayang dan aku cintai.
Aku bercengkam mata untuk menjaga Fakri, aku tidak mahu sesuatu terjadi
kepadanya.
Masih aku ingat, waktu aku tertidur
di samping Fakri, aku telah mendapat satu mimpi, Fakri membawa aku ke satu
taman yang sangat indah, di sana ramai kanak- kanak yang bersuka riang. Fakri
memimpin tangan aku dan dia mengatakan yang dia sangat mencintai aku dan dia
akan menunggu aku. Aku tidak faham apa maksud Fakri, aku cuba untuk mendapat
kepastian namun dia telah hilang aku cuba mencarinya dan mencari, aku tersedar
dari tidur dan aku mendapati tubuh Fakri telah kaku. Aku cuba untuk sedarkan Fakri
namun tubuh itu langsung tidak bergerak. Lalu aku berlari untuk mendapatkan
bantuan dari Doktor yang bertugas. Doktor mengesahkan bahawa Fakri telah pergi
mengadap ilahi. Aku bagaikan tidak percaya, begitu cepat masa berlalu. Aku
sekali lagi telah kehilangan orang teramat aku cintai dan sayangi. Fakri pergi
meninggalkan aku bersama dengan bayi di dalam kandungan aku.
Baru saja beberapa hari Fakri pergi,
aku mendapat musibah yang dasyat. Restoran Balqis kepunyaan milik arwah di
bakar entah angkara siapa. Perniagaan Fakri lingkup, kini aku terpaksa
berdikari untuk mencari makan. Aku mula resah, entah bagaimana aku ingin
menjaga anak yang bakal di lahirkan tidak lama lagi, sedangkan menjaga diri
sendiri pun aku tidak mampu. Akhirnya anak yang aku lahirkan dengan kudratku
aku serahkan kepada keluarga angkat. “Maafkan mama sayang kerana mama tidak
mampu menjaga kamu, mama terpaksa lakukan ini, mama tidak mahu kamu susah
nanti. Fakri maafkan aku kerana aku telah mungkiri janji kita”.
Dalam jiwa yang kekosongan aku
berjalan, tiba- tiba ada seorang lelaki melanggar aku, aku menoleh kearahnya
dan terkejut kerana aku kenal lelaki itu, lelaki yang telah menghancurkan hati
aku, lelaki pertama yang bertanggungjawab di atas segala apa yang telah berlaku
kepada aku. Fiq! Ya nama itu telah ku lempar jauh- jauh dalam hidup aku kini
kembali menagih harapan. Mencari cinta yang hilang, dia merayu- rayu kepada aku
agar aku memaafkannya. Fiq kini bekerja di kilang kerana dia telah di buang
kerja angkara perempuan yang dia agung- angungkan suatu tika dulu. Dia telah
menyesal dan dia akan membuktikan cinta dia kepada aku, katanya, dia mencari
aku di merata- rata tempat dan aku hanya pekakkan telinga kerana aku tidak mahu
dipermainkan oleh Fiq buat kali kedua dan aku hanya mendiamkan diri. Sekeras- keras
kerak nasi bila di rendam air akhirnya lembut juga. Begitulah perumpamaan yang
sesuai dengan aku, akhirnya aku tersungkur di persada dosa. Cinta yang dulu
hilang, kini kembali bersatu, aku mula mencintai Fiq lebih daripada aku
mencintainya sewaktu masa dahulu. Setiap minggu kami akan bersama melayarkan
bahtera cinta, menciptakan dosa dan aku merasa seronok bersama dengan Fiq dan
akhirnya aku hanyut dalam dunia aku sendiri.
Penulis:
NINA AISHAH BINTI RAMALI
Matrik:
BC 12160190
No comments:
Post a Comment