Enjoy Song

Thursday, 28 November 2013

“Kecekalan Sanubari Zahra Humaira”
Keayuan wajah kian terserlah pada seorang gadis yang memiliki senyum tawa yang manis dan berkulit putih kemerah-merahan tetapi sayangnya mengalami kecacatan fizikal  sejak di lahirkan lagi. Dia mempunyai rupa paras yang sangat comel dan cantik. Tetapi sayangnya kita hanya manusia ciptaanNya hanya mampu bersyukur dengan segala nikmat dan anugerah yang di kurnia oleh yang Maha Esa. Pertuturannya sangat lancar dan petah apabila berbicara. Kebijaksanaannya dapat membuat hati ibunya sentiasa gembira dan tertawa kecil apabila dia berhujah. Semua itu di ceritakan padaku oleh seorang nenek tua yang tinggal di kampungku.  Aku diberi gelaran  “Zahra Humaira”. Ibuku lebih gemar  memanggilku dengan gelaran Humaira yang bermaksud merah keputih-putihan. Ibuku memberitahuku dia mengambil nama itu sempena nama anak Nabi Muhammad S.A.W. Ibuku hanya seorang penoreh getah yang hanya bekerja sesudah subuh sebelum matahari terbenam terik. Pekerjaannya itu sekadar dapat menyara hidup kami berdua dan pekerjaan ibu hanya  mampu mencari sesuap nasi bak kata pepatah ‘kais pagi makan pagi kais petang makan petang’.
Kemiskinan yang di alami oleh kami berdua selepas kematian bapaku kerana di patuk ular ketika bapaku keluar untuk menoreh getah menyebabkan kami makin hari semakin susah. Ibuku terpaksa berkerja untuk menyara aku yang tidak seperti anak orang lain,tetapi ibuku selalu tetap bersyukur katanya, “ tidak mengapa kita hidup susah Humaira ibu bersyukur Tuhan telah kurniakan ibu seorang anak yang teramat istimewa sebagai penganti warisnya kelak”.  Kadang-kadang aku tidak mengerti dengan naluri seorang ibu yang sanggup membuat apa sahaja untuk membesarkan aku. Aku  hanya mendapat perhatian dan kasih sayang daripada ibunya.
 Sambil menghirup udara nyaman di sekitar rumah usangku aku sempat mengelamun “kenapa kehidupanku selalu dipandang hina oleh penduduk kampung  tidak kira tua,muda dan yang seusia denganku. Hanya di sebabkan aku mengalami kecacatan fizikal tubuh lebih-lebih lagi tanganku mereka semua bagaikan di landa rebut taufan bila melihat aku. Tapi kenapa? Aku tidak pernah di pinta lahir ke duniawi ini dengan kecacatan?. Lamunanku berhenti sejenak, hatiku yang kian terguris terasa hilang bila memandang wajah ibuku yang nyeyak tidur yang hanya beralaskan tilam buruk dan sebiji bantal yang usang. Aku mendekati ibu dan aku merebahkan tubuhku di sebelah ibu dan aku memandang wajah ibu yang kini sudah berkedut. Tanpa aku sedari guguran manik-manik kecil kian membasahi di pipinya. Hati kecil aku sentiasa berkata,
 “ibu…maafkan Humaira ibu..maafkan anakmu… Humaira tidak mampu untuk menolong ibu Humaira cacat, Humaira memang anak tidak berguna ibu….maafkan aku ibu.” kalau ikutkan hati ingin aku bekerja dan menyara kehidupan aku dan ibu. Tiba-tiba ibu menyentuh bahuku dan berkata, “anakku Zahra Humaira, puteri kesayangan ibu, intan payung ibu…kenapa kamu termenung jauh ,kenapa menangis sayang?”. Aku terkejut dengan sapaan ibu pantas aku menjawab aku ingin menolong ibu bekerja. Ibuku hanya tersenyum tanpa berkata apa-apa. Jauh di sudut benakku aku ketahui kenapa ibu terus terdiam tanpa menjawab persoalan yang aku lontarkan.
Petang itu aku melihat ibu batuk-batuk dan lemah selepas pulang menoreh. Aku memberikan ibu segelas air supaya dapat juga hilangkan batuk-batuk ibu. Pada suatu malam saat bulan menerangi cahaya kusam rumah usangku, ketika itu aku hanya duduk termenung di sebuah jendela kecil. Ibu mendekati aku sambil menyusap-nyusap helaian rambutku yang keperangan itu.  “Kenapa sejak dua tiga hari ini ibu lihat anak ibu selalu termenung jauh. Humaira sakit ke? Bagitahu ibu sayang?”. Aku merenung mata ibuku yang sayu itu. Terguris hatiku bila bertentangan mata dengan ibunya yang semakin hari semakin kurus kerana terlalu penat bekerja. Lalu aku tabahkan hati untuk berbicara dengan ibuku, lalu aku berkata, “ibu kenapa Humaira di lahirkan begini? Kenapa tak sempurna seperti orang lain? Kenapa tidak ada seorang pun yang nak berkawan dengan Humaira? Apa dosa Humaira??”.  Pertanyaan demi pertanyaan yang keluar dari mulutku. Ibuku tidak menjawab persoalan yang di ajukan olehku tetapi hanya linangan air mata yang bergelora mengcurahi membasahi pipi ibuku.  Ibu semakin sebak lalu ibu memelukku sekuat hatinya dan berkata, “Sebab Humaira terlalu istimewa sayang, semua ini anugerah dan ketentuan Allah sayang, apa yang penting ibu sayangkan anak ibu sepenuh hati ibu dan akan sentiasa bersama-sama anak ibu sehingga nafas ibu berhenti.”. Pantas aku memeluk dan mencium kedua-dua belah pipi dan dahi ibunya, dan mencium tangan ibuku kerana aku berasa bersalah dengan kata-kataku yang membuatkan ibu menangis.
Selepas aku menolong ibu memasak dan mengemas rumahku. Hanya itu ynag mampu aku menolong ringankan beban ibu. Setiap petang aku sentiasa melihat kanak-kanak yang seusia denganku pantas berlari anak apabila pulang dari sekolah. Kadang kala terasa cemburu  bila melihat perwatakan orang lain yang sempurna sedangkan aku di lahirkan di muka bumi ini dengan serba kekurangan tapi apakan daya Tuhan Maha Pencipta dan maha Adil.. Malam itu aku mengambil keputusan untuk cuba berbincang dan memberitahu hasratku. Dengan nada suara yang lembut aku terus berkata, “ibu boleh tak kalau Humaira hendak bersekolah seperti rakan-rakan lain? Humaira ingin belajar untuk ubah nasib kita ibu, Humaira nak jadi seorang penulis yang terkenal ibu ,nanti ibu juga akan senang dan Humaira janji akan balas jasa dan pengorbanan ibu, demi ibu”.
Ibunya terkejut mendengar permintaanku yang cacat itu, lebih-lebih lagi pada bahagian tangannya yang teruk. Hati ibuku berkata, “ macam mana la nanti anak aku ini hendak menulis tangannya tidak seperti orang lain, Ya allah macam mana ingin aku jawab pada anakku ini. Aku tidak mampu untuk menghantar anakku ini ke sekolah, aku tidak ada duit?”. Sambil tangannya menepuk-nepuk bahuku, ibuku menjawab “ Humaira sayang…macam mana ibu nak hantar Humaira ke sekolah nak, ibu tak mampu sayang..Humaira tahu kan sayang kita orang susah ibu hanya mampu bagi Humaira makan. Kalau ikutkan ibu memang ibu nak sangat hantar Humaira ke sekolah belajar seperti anak orang lain”. Aku hanya terdiam tetapi dalam sanubariku terasa sedih dan aku bernekad akan berusaha membantu ibuku.
Kegigihanku adalah ingin belajar dan menjadi seorang penulis terkenal  suatu hari nanti tidak pernah lusuh kerana ibu selalu berpesan padaku ‘ genggam bara api biar sampai jadi arang’. Aku akan berusaha sehingga berjaya bak kata perumpamaan melayu ‘Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan’. Aku sentiasa berjalan-jalan menghirup udara segar pada setiap petang. Ketika itu aku telah berjumpa dengan seorang gadis yang cantik dan mempunyai hati yang baik,dia melihat aku dari jauh dan dia mula menghampiri aku, lalu dia memperkenalkan dirinya “ hai saya Syaidatul Ainun, awak jalan seorang-seorang je…awak nak tak berkawan dengan saya?”. Aku hanya mampu tersenyum dan mengangguk kepalaku kerana tidak pernah ada orang yang ingin berkawan denganku. Semua kanak-kanak yang melihatku mesti berlari seperti di kejar anjing kerana takut kecacatanku berjangkit padanya. Aku terus berkata “ hai saya Zahra Humaira panggil je saya Humaira ataupun Ira atau Zah atau…hmmm….erk pangiil je saya Zahra”. Syaidatul Ainun tergelak kecil bila mendengar hujahanku tentang nama panggilanku… Pantas dia mengajakku berjalan dengannya. Mendengar cara percakapanku  membuat hati Ainun berasa senang dan gembira bila berkawan denganku walaupun aku hanya seorang yang cacat dan miskin tapi katanya tidak ada penghalang untuknya berkawan denganku. Aku mengajak Ainun pergi ke rumahku, sampai sahaja di rumahku aku mengajak Ainun naik ke atas rumahku walaupum aku tahu keadaan rumahku yang bagaikan kain buruk.
“Ainun naik la.. maafkan saya jika awak tidak selesa dengan keadaan rumah saya.maklum la rumah usang”. Aku mula bercerita dengan Ainun dengan perihal masing-masing aku memberitahu hasratnya yang ingin bersekolah tetapi ibuku tidak mampu  menghantarnya ke sekolah. Hati Ainun tersentak mendengar hasrat Humaira serta melihat keadaan rumah Humaira yang seperti rumah usang yang hanya tunggu roboh.
Syaidatul Ainun berdekad akan membantu Humaira dalam menimba ilmu supaya suatu hari apabila Humaira akan bersekolah dan akan  menjadi pelajar yang bijak dan di segani ramai walaupun fizikalnya cacat. Kini, setiap petang Ainun akan pergi ke rumah Humaira. Ainun juga telah menghadiahkan Humaira sebatang pensel supaya Humaira boleh belajar menulis. Ainun  memberikan Humaira buku-bukunya yang tidak lagi di pakainya dan memberi buku ceritanya pada Humaira serta mengajarnya menulis dan membaca. Dia berasa sangat kagum dengan kebolehan dan kepintaran yang terserlah pada seorang gadis cacat yang mudah belajar. Kadang-kadang malu di buatnya bila mendengar hujahan Humaira yang bercakap seperti ‘berteh digoreng’ dan bijak dalam mengeluarkan kata-kata “ibu Humaira mengucapkan terima kasih kepada Ainun kerana sudi  berkawan dan berkongsi ilmu dengan anaknya yang cacat”.
Beberapa bulan telah berlalu, tiba-tiba Ainun memberitahu aku bahawa dia dan keluarganya ingin berpindah ke Kuala Lumpur kerana ayahnya akan bertukar tempat kerja ke sana. Aku sedih kerana selepas ini tidak akan ada kawan yang akan menemani aku pada setiap petang dan belajar. Selepas pemergian Ainun, sikap aku kini berubah tidak seperti dulu tiada lagi gelak tawa dan aku selalu menghabiskan sisa-sisa harinya dengan membaca dan menulis. Ibuku semakin hari semakin tua dan tidak mampu untuk bekerja kerana selalu sakit-sakit. Suatu hari tiba-tiba datang seorang Pak ciknya  yang kaya berkereta mewah BMW. Ibuku memberitahu bahawa itu  adalah saudara dekat yang tinggal di Kuala Lumpur dan bekerja sebagai pengawai pentadbiran di sebuah syarikat terkemuka di Kuala Lumpur. Dia membawa aku dan ibuku berpindah dan tinggal di sana bersamanya dan dia juga sanggup menghantarku ke sekolah. Katanya biarlah dia tanggung semua belanja persekolahanku asalkan aku mendapat pendidikan seperti orang lain. Tetapi aku berasa tidak yakin dan curiga dengan Pak cik.
Ibu selalu berpesan padaku “ Humaira, belajar rajin-rajin nak….jangan mudah berputus asa…jangan tinggal solat, setiap apa yang kita lakukan harus ada persediaan jangan biarkan nasi menjadi bubur. Humaira perlu sediakan paying sebelum hujan.” Aku pelik dengan cebisan kata-kata ibu padaku. Tapi aku berjanji akan berusaha demi ibu.
 Setelah beberapa bulan kemudiannya, ibuku meninggal dunia kerana sakit tua. Aku menangis meronta-ronta seperti anak kecil sambil memanggil Ibu!!!! Ibu!!!! Ibu!!!! Jangan tinggalkan Humaira…tiba-tiba sikap pak ciknya berubah dan mengheret aku ke luar rumahnya dan mengurung aku di dalam stor kecil dan gelap. Aku hanya mampu menangis teresak-esak dan meminta tolong tapi tiada seorang pun yang datang. Dalam ruangan stor kecil yang di penuhi habuk aku hanya mendengar aluanan bacaan Al-Quran…. “ Yasin…Wakuralnilkahi, innakalaminalmursalim…”. Mendengar suara orang membaca Yassin air mataku makin laju bagai arus air sungai yang mengalir. Aku hanya mampu berdoa ‘ Ya allah engkau tetapkan ibuku di samping orang-orang yang beriman, ampunkan dosa-dosa ibuku Ya allah”.
Sangkaanku selama ini benar terhadap Pak ciknya dia berbuat baik terhadap aku dan ibu hanya ingin mendapatkan tanah kepunyaan ibu di mana tanah itu tempat ibu mencari rezeki dan memberi  aku sesuap nasi. Pak cik dan mak cikku menghina aku “Kau ni dah la cacat , macam mana la nak belajar hah..tangan pun tak betul? bodoh? Siapa la nak berkawan dengan orang macam kau hah? Engkau ni tak berguana tau tak? Kau ingat aku nak jaga engkau,jangan haraplah buat malu aku tau tak….hahha jaga budak cacat”. Kata-kata itu membuatkan badanku  kaku dan aku hanya membiarkan tomahan demi tomahkan yang keluar dari bibir pak cikku. Hanya linangan air mata berguguran di pipiku. Mereka tidak lagi membenarkanku pergi ke sekolah seperti biasa dan mereka memberitahu bahawa tanah kepunyaan ibuku telah menjadi milik mereka kerana ibuku berjanji akan memberi tanah itu jika pak ciknya menyekolahkan aku serta menjaga aku jika dia meninggal.  
“Ya allah kenapa ibu sanggup berkorban tanah demi memberikan aku pelajaran? Bukankah ini yang aku inginkan dulu?”. Jika masa boleh kuputarkan kembali aku ingin  menarik balik kata-kata dan keinginanku ingin bersekolah. Aku hanya mampu berdoa supaya suatu hari nanti  Tuhan membalas perbuatan Pak cikku yang kejam dan tamak. Tapi apa kan daya ‘air yang di cincang tak akan putus’. Aku hanya mengikut semua kehendak pak ciknya dan jika dihalang, sememangnya tidak berdaya.
Saban hari aku terpaksa makan hati dengan sikap bapa saudaraku yang melayanku tak ubah seperti sehelai kain buruk. “Aku tahu dan aku sedar bahawa aku cacat, fizikalku tidak secantik, tidak sempurna macam orang lain” hanya di sudut hati setiap percakapan itu sering kali terjadi. Tidak juga berani untuk aku melawan. Kerana aku sedar tidak terdaya untuk melawan aku tidak sedarjat mereka.
“Pak cik, keluarkan Humaira dari sini, ada tikus, banyak nyamuk. Humaira takut pak cik”. Sesekali pernah juga aku meronta, menjerit kerana tiada tertahan dengan apa yang terjadi. Namun segala yang aku lakukan hanyalan sia-sia, buang masa sahaja. “Hei budak cacat, kau boleh diam tak? Dah la cacat ada hati takut tikus? Hei tikus dengan nyamuk pom takut lar nak gigit budak cacat macam kau?...dengar sibi erk… Kau tak usahlah nak merayu-rayu  macam orang gila,kat sini tidak ada siapa yang nak membela nasib kau. Cukup masa aku bagi makan, tapi makanan kucing” Hanya itu yang terdengar melalui cupingku oleh seseorang yang aku hormat sebagai bapa saudara. Sendirian aku termenung merenung dalam kegelapan.
“Ya allah kenapa nasib aku sampai begini…ibu kenapa tinggalkan Humaira dengan orang macam ini…Humaira mampu hidup seorang ibu..ya allah engkau kuatkan hatiku”.
“Ibu, Humaira nak ibu, Humaira tak nak duk sini lagi, Humaira perlukan ibu. Ibu balik la ibu”. Sebanyak mana pun rayuan panggilan aku menginginkan ibuku, tetap tidak kesampaian. Manakan orang mati dapat bernyawa kembali. Tuhan lebih sayangkan ibuku. Aku sangat menginginkan ibuku. Jika ibu ada mungkin aku tidak sebegini. Aku hairan mengapa wujudnya manusia yang sempurna fizikal sangat mementingkan harta dan tidak berpegang pada janji, manusia seperti bapa sudaraku mungkin lebih jijik daripada di bandingkan dengan makhluk yang berekor. Aku tertidur dengan tidak disangka-sangka. Hanya bertilamkan lantai simen sejuk, berlapikkan kusin buruk di kepala.
“Humaira sayang…….ibu datang ni nak. Mari dekat ibu sayang, ibu ada ni. Ibu sayang anak ibu. Mari ikut ibu sayang. Ibu nak bawak Humaira berjalan-jalan ke taman yang sangat indah dan cantik”.
“Ibu!!!!..” hanya jerikan yang sekuatnya aku memanggil ibu. Ibu datang dalam mimpiku dan mengajakku untuk bersamanya. Tetapi ibu hanya berpakaian putih, bertelekung bersih dan berwajah cantik. Aku hanya berjumpa dengan ibu di alam mimpi, di alam yang sering kali orang berkata permainan syaitan. Air mata yang tadinya kering, kembali membasahi pipi. Di luar sana kedengaran anjing menyalak syaitan menggila. Aku ketakutan, hanya dapat aku memejamkan mata dan menyebut nama ibu. Terlena aku sehingga matahari menggantikan bulan yang telah mengantuk. Sepanjang malam bulan berjaga melihat aku tidur di tempat yang sangat gelap.
Humaira!!!! Bangun, aku nak kau jaga rumah, dan kau bersihkan semua kotoran dalm rumah aku, aku nak mak su kau nak keluar. Beli barang, mungkin malam nanti aku balik, hei budak cacat cepat la bangun kenapa engkau lembap sangat hah?”.
“Tapi pak cik, Humaira lapar”
“Lapar, lapar, lapar. Tu sahaja yang kau tahu, kau ingat duit aku nak habiskan beli makanan kau?”. “Humaira lapar pak cik”
“Kau masuk  rumah, makan dalam pinggan kucing, tu makanan kau” Sungguh kejam perlakuan bapa saudaraku yang melayan aku seperti orang luar, lebih teruk daripada amah yang datangnya dari Indonesia. Aku sangat lapar kerana sudah dua hari aku tidak menjamah nasi. Aku semakin bingung dengan sikap bapa saudaraku yang menyuruh aku melakukan segala kerja rumah, sedangkan dia dapat melihat segala kekurangan yang aku ada. Air mata yang sejak kebelakangan ini laju menitis, kini sudah kering, kering kontang. Kerana terlalu lapar, aku mencari-cari sesuap nasi. Aku mengangkat saji di dapur dan nasi dingin berkerak itulah yang aku makan. Terasa sedapnya juga bagi orang yang sudah dua hari tidak bertemu dengan nasi seperti aku. Aku melihat ke keluar rumah dengan pandangan jauh. Kawasan yang langsung tidak aku temui jalan keluar, tetapi keinginan untuk aku keluar dari neraka dunia buatan bapa saudaraku meluak-luak. Walaupun kecacatan yang aku miliki, aku berusaha untuk lari bebas keluar.
Aku terus berlari entah ke mana arah tujunya. Orang sekeliling melihat aku seperti melihat kucing kurap. Mungkin kerana pakaian aku yang sebegini kotor. Aku berlari dan terus berlari tanpa menghiraukan orang sekeliling yang sedang memerhatikan aku. Aku berlari sekuat hati kerana kuatiri aku diperhatikan oleh sang penghiri hati. Sesampainya aku di sebuah deretan kedai, aku pun merehatkan tubuhku sejenak. Aku tertidur sambil tersandar pada dinding. Aku sangat letih.
Humaira sayang….., mari sini, ibu datang lagi ni. Nanti Umaira bangun, anak ibu ni pergi cari jalan pulang ya. Humaira balik rumah kita di kampung. Ibu terpaksa pergi sekarang. Ibu sayang anak ibu. Ibu sentiasa dekat dengan Humaira”.
“Ibu, ibu, ibu,!!!”
“Eh! Gila ke budak ni?” terdengar suara orang lalu lalang mungkin terkejut kerana aku berteriak memanggil nama ibuku yang hanya datang melalui mimpi. Dalam mimpi tadi ibu menghulurkan tangannya kepada aku, tapi belum sempat aku mencapai tangan ibuku,ibu dah hilang. Tapi tadi “ibu cakap balik rumah di kampung, tetapi macam mana aku nak balik? Aku hanya ingat nama kampungku sahaja, aku langsung tak teringat jalan yang nak menuju ke kampungku” aku hanya bercakap seorang diri tanpa didengari oleh orang lain. Aku berjalan seorang diri menuju mencari hentian teksi. Beberapa orang yang sombong dan hina di Bandar telah aku temui. Aku hanya bertanya menegenai hentian teksi dan bertanya mengenai kampung aku, tapi mereka yang menggangap mereka sempurna hanya berdiam diri serta menghina aku.
“Abang, teksi dimana?”
“Kakak, kakak, saya nak balik rumah saya, Kampung Delima. Kakak kenal tak?”
Seberapa banyak soalan yang aku bertanya kepada orang sekeliling, langsung tidak di endahkan, aku tahu aku cacat. Tidak langsung aku diminta jadinya begini dan hanya kuasa Yang Esa mampu membuatkan aku begini. Aku termenung di hentian bas. Mengenangkan ke mana hendak aku pergi lagi. “Eh! Ada wang dalam kocek seluarku, wang siapakah ini?” aku terkejut dengan adanya wang yang langsung aku tidak tahu dari mana datangnya. Tiba-tiba datangnya seorang tua mendekati aku. Aku cuba menghiraukannya, tapi dia memanggil nama aku.
“Humaira, bersabarlah, nanti akan ada orang yang ikhlas menolong kamu nak. Humaira mesti cekal, tabah. Walaupun Humaira diberi ujian begini oleh Yang Esa, Humaira perlu bersyukur, jangan pernah kita takbur, ini semua anugerah ilahi”.  Aku menangis apabila orang separuh abad itu sedikit berceramah kepadaku. Aku menunduk melihat lantai simen den sekeliling. Aku baru sahaja aku ingin melihat wajah orang tua yang berada disebelah ku ini, tiba-tiba “hilang? Pak cik tadi hilang? Kan tadi dia berada di…..” aku sangat pelik dengan apa yang terjadi kepada diriku hari ini. Sejak aku keluar dari neraka bapa saudaraku, banyak kejadian pelik. Ibu datang dalam mimpi suruh aku pulang, ada duit dalam kocek seluarku dan ada pula orang tua datang memberi nasihat.
Selang beberapa minit aku diberi nasihat oleh pakcik tua tadi, datang sebuah teksi serta berhenti di hadapan aku. “Adik nak ke mana? Adik sesat? Pak cik hantar adik balik ya” pemandu teksi yang berhenti dihadapanku mempelawa untuk menghantar aku ke destinasi yang disuruh oleh mak aku sewaktu dalam mimpi tadi. Aku memberitahu pak cik teksi bahawa aku ingin ke Kampung Delima, dan pak cik tersebut menghantar aku pulang. Dalam fikiran aku sering bertanya “adakah benar aku berada dengan orang yang iklas dengan ku?.  Tapi jika dilihat dari raub wajahnya, dia sememangnya bertujuan baik”. Sepanjang perjalanan aku menuju ke kampungku, aku hanya berdiam dan banyak soalan yang aku terima daripada pak cik pemandu teksi itu. Aku hanya memberi jawapan sepatah kerana dalam fikiranku hanya memikirkan ibuku yang sudah tiada lagi di sisi. Sesampai sahaja aku di kampung, aku semakin ingat jalan untuk menuju ke rumahku. Aku bersyukur kepada Yang Esa kerana menolong aku sehingga sebegini.
“Pak cik, berhenti di sini, rumah saya di hadapan sana sahaja”
“Betul ke ni? Nak pak cik hantar ke depan umah?”
“Tak usah lah pak cik, sampai sini sahaja, berapa tambang pak cik?”
“Tidak mengapa nak, pak cik tak nak kenakan bayaran, pakcik nak tolong anak, lagipun jalan ke rumah pak cik menuju jalan yang sama”.
Aku sangat berterima kasih dengan segala yang Allah telah kurniakan. Aku berjalan lalu sampai di rumah yang dahulunya milik ibuku. Tapi sekarang milik orang sombong dan mementingkan harta dunia. Aku menangis di tangga rumahku kerana aku sudah buntu. “Humaira, saya ni Ainun” aku sangat terkejut dengan panggilan namaku dan nama yang orang tersebut kenalkan ialah seseorang yang pernah menjadi kawanku. Ainun mendekati aku dan dia bertanya mengenai diriku. Aku menceritakan segala yang telah terjadi. Sebenarnya Ainun telah beberapa hari datang ke rumahku untuk bertemu denganku tapi dia hampa kerana rumahku hanya terkunci dari luar. Dia cuba memberi salam serta memanggil namaku, tapi tiada sahutan. Dan hari ini dia datang sememangnya Allah telah tetapkan jodoh pertemuan aku kembali dengan Ainun.
“Tak apalah Humaira, awak ikut saya balik. Awak boleh tinggal dengan saya di bandar. Lagipun saya dah banyak cerita pasal awak kepada ayah dan ibu saya” aku hanya menangis sambil memegang tangan Ainun. Aku pergi bersama Ainun. Dan ini mungkin jalan pertama aku menuju bahgia. Aku bersyukur bahawa masih ada orang yang ingin mengaku saudara dengan aku. Sambil aku berjalan, aku menoleh ke belakang melihat rumahku yang mungkin kali terakhirnya. Aku melihat ada baying-bayang yang samar-samar sedang tersenyum melihat aku dan bayangan itu adalah ibu. Ibu hanya tersenyum dan aku melambaikan tangan kepada ibu. Aku berjanji dengan diriku bahawa aku akan berusaha menjadi orang berguna walaupun aku cacat sebegini. Suatu hari aku akan berjumpa dengan ibu. Pasti. Insyaallah….
Hasil pena: Siti Noor Ain Binti Awang

                                                                     (Bc 12110155)

No comments:

Post a Comment