Enjoy Song

Tuesday, 7 January 2014

Apa Itu Tari???

Tari adalah keindahan ekspresi jiwa manusia yang diungkapkan dalam bentuk gerak tubuh badan manusia yang diperhalusi melalui estetika atau keindahan. Susanne k Langet menyatakan bahawa tari adalah gerak ekspresi manusia yang indah. Gerakan dapat dinikmati melalui rasa ke dalam penghayatan ritma tertentu. Haukim pula menyatakan bahawa tarian adalah ekspresi jiwa manusia yang diubah oleh imiginasi dan diberi bentuk melalui media gerak sehingga menjadi bentuk gerak yang simbolis dan sebagai ungkapan si pencipta ( Haukins:1990,2). Secara tidak langsung disini Haukin memberikan penekanan bahawa tari ekspresi jiwa menjadi sesuatu yang dilahirkan melalui media ungkap yang disamarkan. Disisi lain ditambahkan oleh La Mery bahawa ekspresi yang berbentuk simbolis dalam mewujudkan yang lebih tinggi harus diinternalisasikan.
          Dalam perkembangan tersebut, tari disampaikan oleh Soedargano bahawa tari merupakan ekspresi jiwa manusia yang diubah gerak ritmis yang indah. M.Jazuli dalam (soeryodiningart:1987,12-34) dikemukakan bahawa beliau boleh menekankan gerak tubuh yang berirama.  Hal ini kerana terdapat bahawa tari adalah gerak anggota tubuh yang selaras dengan bunyi muzik atau gemelan yang diaturkan oleh irama yang sesuai dengan maksud tujuan tari (soeryodiningrat:1986,21). Tari juga biasa dikatakan sebagai ungkapan ekspresi perasaan manusia yang diubah oleh imiginasi dibentuk media gerak sehingga menjadi gerak simbolis sebagai ungkapan koreografer. Sebagai bentuk latihan, tari digunakan untuk menyumbangkan kepekaan gerak, rasa, irama seseorang. Oleh sebab itu, tari dapat diperhalusi pekerti manusia yang mempelajarinya.
          Seni tari dipercayai di dalam kehidupan manusia sebagai salah satu alat komunikasi awal manusia dalam bahasa gerak dan bunyi yang mereka tiru dari alam disekitar kehidupan mereka. Pergerakan dan bunyi-bunyi semulajadi inilah yang melahirkan tarian-tarian awal yang berkaita rapat dengan kuasa-kuasa mistik. Sejak tarian wujud dan menjadi salah satu daripada aspek kebudayaan kita hanya dapat katakan bahawa gerak tari itu lahir serentak dengan kelahiran atau kewujudan manusia dialam ini. Memandangkan tarian merupakan salah satu alat komunikasi yang mana tidak memerlukan apa-apa peralatan untuk melakukan tarian kecuali tubuh badan penari.  Pada ketika itu, muzik yang terhasil daripada hentakan kaki dan tepukan tangan sahaja yang mengiringi para penari sejajar dengan keadaan tamadun awal manusia.
          Pada masa kini kebudayaan diertikan sebagai manifestasi kehidupan setiap orang atau masyarakat. Ianya meliputi segala perubatan manusia seperti dalam bidang kesenian seumpama tarian. Manakala tradisi pula difahami sebagai pewarisan atau penerusan norma-norma, adat istiadat dan sebagainya dan tradisi tersebut bukanlah sesuatu yang tidak boleh diubah, malah mengalami perubahan akibat perubahan sosial yang berlaku kerana pengaruh dan perkembangan teknologi dari luar, pertambahan penduduk, pengaruh-pengaruh universalisme dan aspirasi-aspirasi masyarakat.
          Menurut MOHD GHOUSE NASURUDIN (1994:xiii) dalam bukunya yang bertajuk Tarian Melayu menyatakan:’’......tarian satu bentuk universal perhubungan bukan lisan. Melaluinya kita dapat menghayati ciri-ciri budaya sesuatu suku kaum seperti nilai, norma, emosi dan tabiat semulajadi. Ia membentuk aspek integral dalam jalinan sosial dan menyediakan fungsi keagamaan atau sekular atau kedua-duanya, bergantung pada bentuk masyarakat itu.” Selain itu, beliau juga menyokong bahawa tarian pada mulanya tidak memerlukan sebarang peralatan atau alat muzik, kecuali tubuh badan manusia sahaja. Mereka mengadaptasi keadaan persekitaran ke dalam struktur dan abjad tarian. Tarian juga di hasilkan berdasarkan kefungsiannya dalam upacara keagamaan. Pada zaman moden ini, Mohd Ghouse Nasurudin menyatakan, `Tarian menjadi bahagian integral dan berfungsi dalam masyarakat manusia. Ia membentuk asas merasionalisasi fenomena semulajadi yang tidak dapat diduga atau dimengerti.’
          Kesimpulannya, tarian merupakan salah satu upacara atau aktiviti penting yang terdapat dalam golongan masyarakat di segenap dunia sabagai memperkenalkan budaya dan kaum masing-masing. Oleh hal yang demikian, setiap kaum telah mempunyai jenis tarian masing-masing untuk membezakan kaumnya dengan kaum lain. Perbezaan inilah yang menentukan adat dan budaya dalam kehidupan setiap kaum di dunia.

Oleh : Mohamad Amirul Shahzwan Bin Rosli (BC 12110074)


No comments:

Post a Comment