Enjoy Song

Tuesday 7 January 2014

Istilah Teater

Teater merupakan salah satu daripada cabang kesenian yang merupakan sejenis seni persembahan yang menggabungkan beberapa elemen penting. Antaranya ialah pergerakan badan, mimik muka dan vokal atau kelantangan suara. Teater telah muncul sebelum adanya sebarang tulisan di muka bumi. Menurut istilah dari Kamus Dewan edisi ketiga, teater bermaksud sebuah bangunan yang di dalamnya mempunyai pentas untuk mempersembahkan drama, muzik dan hiburan di mana terdapatnya tempat untuk penonton menyaksikan persembahan. Hal ini menunjukkan bahawa teater berfungsi sebagai alat komunikasi yang digunakan oleh karyawan pada zaman dahulu untuk menyampaikan ideologi mereka kepada masyarakat. Teater juga digunakan untuk mengkritik pihak pemerintah dan golongan atasan.
     Perkataan teater sebenarnya berasal daripada perkataan Yunani iaitu “theatron”(bahasa Inggeris:seeing place) yang bermaksud tempat atau gedung pertunjukkan. Dalam erti kata lain teater juga bermakna sebagai kehidupan kerana setiap perbuatan yang dilakukan oleh seseorang itu adalah persembahan hidup. Selain itu, teater juga dikatakan sebagai pertunjukkan seperti wayang, sinetron, sulap dan sebagainya. Ia menjadi manifestasi pembentukan sosial manusia yang berhubung dengan masalah ritual. Misalnya, upacara adat mahupun upacara kenegaraan. Kedua-duanya mempunyai unsure taktikal.
     Seterusnya, teater juga bermaksud satu gabungan kerja-kerja kreatif yang merangkumi semua unsur seperti muzik, pelakon dan pengarah. Semua unsur seni dan pengurusan berdasarkan naskah lakon yang dipersembahkan secara langsung kepada penonton yang hanya dipisahkan oleh ruang dan waktu sahaja. Bentuk kerja secara berpasukan antara artis dengan naskhah lakon di mana pelakon membawa watak di dalam produksi secara langsung di khalayak ramai. Teater merupakan satu bentuk persembahan lakonan yang boleh menghiburkan dan dipersembahkan secara langsung di sebuah tempat yang dikenali sebagai pentas.
     Menurut Peter Brooke, seorang pensyarah inggeris di dalam bukunya yang bertajuk “THE EMPTY SPACE”, beliau menyatakan bahawa sebuah persembahan  teater memerlukan pelakon untuk berlakon di atas kawasan khas serta ditonton oleh penonton. Secara amnya, sebuah persembahan teater itu merangkumi tiga asas penting iaitu pelakon, penonton dan pentas lakon. Kebanyakan sejarah awal teater tidak direkodkan. Oleh hal yang demikian, banyak siri ataupun pendapat mengenai asal-usul permulaan teater. Namun begitu, teori yang menjadi asas rujukan kebanyakan pengkaji sejarah Barat yang menyatakan bahawa persembahan teater ini wujud kerana upacara ritual serta mitos ketika zaman Greek ribuan tahun yang lampau.
          Istilah untuk merungkaikan makna teater itu terdapat pelbagai jenis mengikut persepsi tersendiri. Oleh itu, penggunaan istilah teater boleh dimaksudkan sebagai salah satu persembahan pentas yang bertujuan untuk menyampaikan maklumat dan mesej kepada penonton.


Oleh : Mohamad Amirul Shahzwan Bin Rosli (BC 12110074)

No comments:

Post a Comment