Enjoy Song

Tuesday, 7 January 2014

Isteri Sejati Dari Sisi Islam

Isteri sejati merupakan idaman setiap lelaki di dunia. Namun begitu, bukan mudah untuk mencari seorang wanita yang mampu menjadi isteri muslimah yang sejati. Apa yang dimaksudkan dengan isteri sejati sebenarnya? Juga apakah kriteria yang melayakkan seseorang wanita dianggap sebagai isteri yang benar-benar memenuhi syarat yang dikehendaki dalam islam. Menurut firman Allah s.w.t:

          “boleh jadi jika Nabi menceraikan kamu, Tuhannya akan menggantikan baginya   isteri-isteri yang lebih baik daripada kamu, yang menurut perintah, yang ikhlas         imannya, yang taat, yang bertaubat, yang tetap beribadat, yang berpuasa, meliputi yang janda dan anak dara.”
                                                                                      (Surah at-Tahrim: 5)
          Menerusi ayat tersebut, kita dapati bahawa isteri yang baik menurut terminologi al-Quran yang paling penting ialah wanita yang mengakui keesaan Allah s.w.t dan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. Perkara ini perlu diterjemahkan melalui setiap perbuatan yang nyata dan sesuai dengan apa yang mereka yakini di hati sendiri. Oleh itu, wanita-wanita yang hanya melafazkan iman dan pengakuannya tetapi tidak menunjukkan ciri-ciri yang dikehendaki dalam islam  dengan sendirinya tidak termasuk dalam kalangan wanita yang muslimah dan sejati.
          Dalam firman tersebut juga ada menyatakan beberapa syarat yang melengkapkan peribadi wanita yang bernama muslimah dan mukminah. Hal ini dapat dilihat melalui kebaikan dari tindak-tanduk seseorang wanita itu sendiri. Jika kita melihat kepada contoh dari Aisyah dan Hafsah sedikit sebanyak menunjukkan perasaan megah berdasarkan faktor keturunannya dan posisi ayahnya di sisi Rasulullah s.a.w. Hal ini telah menyebabkan mereka bersepakat melakukan pakatan tersebut. Memang kita akui bahawa keturunan mereka sangat mulia jika dibandingkan dengan Mariah al-Qitbiyah yang hanya seorang hamba sedangkan Aisyah puteri Abu Bakar as-Siddiq dan Hafsah puteri kepada Umar bin al-Khatab. Namun begitu, dalam islam faktor keturunan dan kecantikan tidak menjadi ukuran terhadap kemuliaan seseorang. Wanita yang lebih mulia ialah wanita yang patuh, beriman, bertaubat, beribadat, dan berpuasa. Begitu juga soal kecantikan wajah di mana yang menjadi ukuran hanya soal sejauh mana wanita itu mampu memelihara diri dan keluarganya.

          Sebagai kesimpulannya, seseorang yang mampu menjaga diri daripada terjerumus ke lembah maksiat, kesesatan dan syirik ia akan mendapat kebaikan diri dan keluarga. Corak peribadi  seorang ibu akan meresap ke dalam sikap dan sanubari keluarganya.

Disediakan oleh : Siti Aishah Aziz (BC 12110150)

No comments:

Post a Comment