Enjoy Song

Monday, 20 January 2014

SISWA PERLU TAHU MATLAMAT PERJUANGAN

Siswa adalah golo­ngan terpelajar, namun dengan sikap dan tindakan segelintir yang terbabit dalam beberapa insiden provokasi mutakhir ini sedikit sebanyak mencalar imej dan identiti mereka.
Meskipun tindakan itu membabitkan sebilangan saja, kesannya tetap tercalit pada siswa secara keseluruhan. Pelbagai tanggapan timbul, malah tidak keterlaluan ada suara mengatakan siswa masih belum matang dan terpengaruh dengan pihak tertentu.

          Percanggahan pendapat dalam sesetengah perkara mungkin tiada salahnya. Keinginan agar idea dide­ngar pihak lain juga suatu lumrah. Malah, hak bersuara barangkali tidak dihalang selagi ia tidak menyalahi undang-undang, bahkan menonjol­kan norma intelektual.
Bagaimanapun, apakah justifikasi anda apabila bercakap mengenai isu ini? Apakah pembabitan mereka berpaksi kepada kebenaran demi sebuah perjuangan yang tulus ataupun sekadar retorik dan berlandaskan emosi?

          Dekan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia, Profesor Dr Zaid Ahmad berkata, masyarakat pada asasnya tidak boleh menganggap situasi yang melanda siswa kini sekadar retorik semata-mata. Menurutnya, walaupun ramai beranggapan golo­ngan terbabit sekadar meraih publisiti murahan atau mudah diperalatkan, pemerhatian dan pemahaman perlu dilihat dari sudut berbeza agar tidak timbul salah faham.

“Kita tidak boleh sesuka hati mengatakan tindakan diambil segelintir daripada mereka salah dan tidak boleh diterima pihak lain.
“Pada waktu sama juga kita tidak boleh mengatakan mereka dibenarkan berbuat demikian sewenang-wenangnya tanpa memikirkan sensitiviti atau akibat lain yang mungkin timbul,” katanya.
Katanya, sebelum membuat penilaian, kepentingan memahami tindakan itu perlu ada supaya kedua-dua pihak dapat melihat keperluan sesuatu tindakan dari sudut berbeza bagi mencari titik persefahaman dan tidak disalah anggap.

Beliau juga kurang bersetuju apabila ada segelintir pihak menyamakan tindakan segelintir siswa terbabit bersifat murahan dan seperti diperkudakan pihak tertentu yang berkepenti­ngan.
“Saya berpendapat, ia kurang tepat dan kurang manis apabila melabelkan sesuatu pihak dengan tanggapan buruk.
“Tidak kiralah sama ada siswa atau pihak lain, tanggapan yang diberikan perlu berdasarkan bukti dan tidak boleh dilakukan dengan emosi dan andaian semata-mata.

“Bukan menyokong mana-mana pihak tapi adakalanya pendapat diberikan disalah tafsir sedangkan kedua-duanya boleh mencari persefahaman bagi mengelakkan perselisihan faham,” katanya.
Dr Zaid berkata, jika pertikaian sedia ada itu diprovokasi pihak yang mahu mengambil kesempatan, contohnya disemarakkan lagi dengan media sosial, pertikaian kecil mungkin menjadi besar kerana ada tokok tambah.
“Pihak yang memperjuangkan iaitu siswa dan pihak menggubal atau memegang tampuk kuasa akan melihat pertikaian itu dari definisi berbeza.

“Akhirnya akan mencetuskan perbalahan yang tidak diingini dan kesempatan itu pula dipergunakan pihak lain yang mempunyai kepentingan peribadi,” katanya.
Beliau bagaimanapun menegaskan, andai kata situasi itu benar-benar melanggar undang-undang, ia perlulah dikenakan tindakan sewajar­nya.
“Saya percaya ma­syarakat sebenarnya tidak mahu mengongkong pergerakan siswa andai kata golongan itu tahu batasannya.

“Malah, masyarakat juga yakin golongan itu perlu diberi ruang untuk menyuarakan pandangan serta hak perbezaan pendapat.
“Tapi seandainya ia keterlaluan dan boleh meng­ganggu gugat keamanan mahupun sensitiviti orang lain atau melanggar undang-undang, sudah semestinya tindakan perlu diambil,” katanya.
Katanya, siswa perlu menunjukkan daya intelektual tinggi serta tahu arah perjuangan mereka.
Beliau berkata, pihak­nya tidak pernah mahu menyekat perkembangan daya pemikiran golongan terbabit dalam menyuarakan sesuatu isu, malah mereka diberikan platform untuk berpolitik.

“Namun, pada masa sama perlu buktikan mereka adalah golongan yang mampu berfikir serta mempunyai daya intelek­tual tinggi.
“Dukacita apabila mereka yang agresif ini tidak bertindak seperti itu. Jadi jangan salahkan masyarakat andai kata mereka melemparkan tuduhan atau melabelkan siswa dengan pelbagai tanggapan,” katanya.
Mengenai tanggapan tindakan siswa kini yang dikatakan lebih dipengaruhi sentimen siswa terdahulu, Dr Zaid berkata, kebangkitan itu walaupun caranya sama, matlamat perjuangannya sudah berbeza.
Katanya, dulu siswa berjuang kerana mereka ada rasa tanggungjawab untuk membela masyarakat dan perjuangan itu tiada agenda tersembunyi.

“Persoalannya, apakah perjuangan siswa kini atas matlamat sama atau disebabkan kekecewaan parti politik yang disokong juga ada agenda lain?
“Jika betul matlamat dan caranya, boleh kita katakan siswa memang berjuang untuk masyarakat, tapi jika sebaliknya, ia adalah salah,” katanya.
Namun, beliau melontarkan soalan: “Bagaimana kita mahu mengetahui perjuangan mereka adalah benar jika ada unsur provokasi, keganasan dan sebagainya?”
Katanya, masyarakat tidak memberikan label kepada siswa terbabit tetapi mereka sendiri yang membuka peluang kepada pihak lain untuk membuat penafsiran bersandarkan perlakuan ditunjukkan.

Oleh : Mohamad Amirul Shahzwan Bin Rosli (BC 12110074)

No comments:

Post a Comment