Enjoy Song

Tuesday 7 January 2014

Isu Pencerobohan Di Lahad Datu

Isu pencerobohan di Lahad Datu telah menjadi isu yang semakin hangat diperkatakan di seluruh negara. Pencerobohan yang berlaku ini amat membimbangkan segenap masyarakat negara terutama penduduk di Sabah. Perkara ini boleh menjejaskan ekonomi negeri yang banyak mendapat sambutan dari segi eko-pelancongan kerana keindahan yang terdapat  di negeri di Bawah Bayu ini. Oleh itu, sebagai rakyat yang cinta akan negeri sendiri kita perlu bertanggungjawab dalam mencari kebenaran dalam setiap yang berlaku. Kita perlu merungkai dari mana datangnya masyarakat Suluk yang telah menceroboh Lahad Datu dengan sewenang-wenangnya.
            Menurut Encik Wan Sharuddin bin Wan Hussin iaitu pensyarah dari Sekolah Sains Sosial (SSS) yang telah membuat kajian berkenaan Komuniti Suluk dalam Konteks Operasi di Sabah telah menjawab setiap pertanyaan yang bermain dibenaknya sebelum ini. Kajian yang beliau telah jalankan tertumpu kepada penilaian yang dibuat melalui beberapa kajian soal selidik. Kajiannya lebih merujuk kepada kaedah kutipan data, membincangkan latar belakang suku Suluk di Sabah, meninjau reaksi suku Suluk selepas Tanduo dan menyentuh isu-isu berhubung dengan suku Suluk di Sabah. Perkara pertama yang dijalankan ialah berkenaan dengan kaedah kutipan data. Beliau telah mengadakan temubual dengan beberapa orang responden dari Tawau, Kota Kinabalu dan Lahad Datu. Sesi temubual ini telah dibuat melalui panggilan telefon dan ia dikatakan penyampaian maklumat melalui sumber sekunder.
            Suku Suluk atau Sulug merujuk kepada mereka atau mempunyai keturunan yang berasal dari Selatan Filipina terutama di Jolo, Tawi-Tawi, Maimbong, Parang dan pulau-pulau yang berhampiran dengannya. Mereka kini berkemungkinan telah menjadi rakyat Malaysia atau memiliki dokumen IMM13 dan telah menetap di negara ini. Dalam Sabah Notive Ordinance 1954, suku Suluk dikatakan sebagai sebahagian Bumiputera Sabah. Di Selatan Filipina, mereka ini dikenali sebagai Taosug atau Orang Arus (Kiefer 1986). Tambah Kiefer lagi, apabila seseorang menyatakan saya orang Taosug, ianya akan memberikan tiga makna utama. Pertamanya ialah dia merupakan seorang yang berbahasa Taosug dan mengamalkan bentuk adat tertentu yang berbeza dari suku islam yang lain. Makna yang keduanya ialah dia adalah seorang yang mempuyai ketaatan kepada institusi politik dan perundangan Kesultanan Taosug di Jolo. Makna yang ketiganya pula ialah dia merupakan seorang islam.
            Dari segi sejarah pula, Kesultanan Sulu sangat berkait rapat dengan pantai timur Borneo. Perdagangan Sultan Sulu dengan China dan Barat yang menguntungkan telah menyebabkan sebilangan Datu dan kerabat Sultan bersama pengikut mereka telah mengharungi Laut Sulu dan Laut Sulawesi untuk memulakan penghidupan baru di kawasan pantai-pantai di Selatan Kepulauan Filipina, Utara Kepulauan Sulawesi dan di pantai Timur Pulau Borneo. Pantai Timur Borneo memang terkenal dalam menghasilkan sarang burung, kapur barus, rotan, tripang, mutiara yang sememangnya mendapat permintaan yang besar di benua China. Pantai Timur Borneo juga diperolehi oleh Sultan Sulu sebagai ganjaran kerana membantu Sultan Brunei menghadapi pemberontakan daripada pihak pemberontak. (M.Raduan M.Arif,t;t ).
            Menurut hasil kajian Encik Sharuddin, kebanyakan suku Suluk di Sabah tingaal di sekitar Kampung Air (Wan Shawaluddin & Ramli). Hal ini tidak dapat dielakkan memandangkan suku Suluk dikaitkan dengan aktiviti maritim terutamanya perikanan. Suku Suluk merupakan antara 72 yang disenaraikan oleh Museum Sabah pada tahun 2010. Berdasarkan sumber Jabatan Perangkaan, jumlah suku Suluk di Sabah keseluruhannya seramai 79205 orang pada tahun 2010. Daerah Sandakan merupakan daerah terbesar yang memiliki suku Suluk dengan jumlah sebanyak 22 290 orang diikuti oleh daerah Kota Kinabalu seramai 11 412 orang dan Lahad Datu sebanyak 10 709 orang ( Jabatan Perangkaan, 2010).
            Melalui kajian yang dijalankan juga, pelbagai  reaksi dari masyarakat terhadap peristiwa yang berlaku di Tanduo telah dirakam oleh Encik Sharuddin. Menurut temubualnya bersama seorang peniaga yang ditemui di Kota Kinabalu iaitu Puan Dayang Khatijah, peristiwa itu tidak bagus untuk perniagaannya dan ianya telah menjejaskan hasil rezeki peniaga tempatan. Selain itu, menurut salah seorang bekas anggota polis iaitu Rasul (bukan nama sebenar). Beliau melahirkan rasa marah terhadap penceroboh yang cuba memasuki dan menceroboh negara ini.

            Disebabkan perkara yang telah berlaku di Tanduo, pelbagai isu telah dikaitkan dengan masyarakat Suluk di Sabah. Mereka telah cuba untuk menekankan perbezaan Suluk Malaysia berbanding Taosug di Filipina. Hal ini juga dapat dilihat melalui isu tentang kesetiaan suku Suluk di Malaysia terhadap negara dan mengelakkan tindakan tidak adil ke atas kakitangan kerajaan yang berketurunan Suluk. Encik Sharuddin telah menyifatkan bahawa insiden yang berlaku pada bulan Februari dan Mac yang lalu telah meninggalkan impak yang sangat signifikan kepada suku Suluk di Sabah. Ianya benar-benar menguji kesetiaan kaum Suluk terhadap negara yang tercinta. Dendam Taosug akan terus membara bagi meneruskan tuntutan terhadap Sabah. Oleh itu, usaha perlu dibuat oleh pihak kerajaan bagi menggembleng kembali tenaga bagi memupuk semangat cintakan negara dalam kalangan suku Suluk di Sabah dan sanggup berkorban demi negara untuk mempertahankannya dari pihak musuh di luar.

Antara wira-wira yang gugur semasa pertempuran












SITI AISHAH BINTI AZIZ (BC12110150)   

No comments:

Post a Comment