Enjoy Song

Tuesday, 7 January 2014

Ceramah Ustaz Don Daniyal

ISNIN, 23 DISEMBER – Ceramah pendakwah terkemuka, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid mendapat sambutan baik apabila lebih 200 orang peserta mengikuti satu program seminar bertajuk "Solat dan Selawat Bersama Ustaz Don Daniyal" yang berlangsung di Dewan Kuliah Pusat ke-2, UMS baru-baru ini. Program sehari anjuran bersama UMS dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor mengupas sejarah dan falsafah solat serta kepentingannya kepada umat Islam.
 
            Dalam ceramahnya, beliau menekankan kepentingan menjaga solat tanpa mengira pangkat dan darjat seseorang. Tambah beliau solat merupakan tunggak utama dalam memberi jaminan keselamatan di dunia dan akhirat bagi seseorang umat Islam.“Seorang Islam seharusnya mengetahui keagungan dan keindahan solat melalui 13 Rukun Solat,” jelas beliau. Beliau turut menerangkan hikmah-hikmah menunaikan solat dalam kehidupan seharian kepada hadirin.
 
           Sekretariat Pencegahan Rasuah, UMS Abdul Khaidir bin Mohmad Adli, Ketua yang juga merupakan Jawatankuasa Induk seminar ini amat teruja dengan maklum balas yang diberikan peserta sepanjang penganjuran seminar ini.Katanya penyertaan peserta yang bukan sahaja terdiri daripada warga UMS sendiri, malah turut mendapat penyertaan orang luar jelas menunjukkan program agama sebegini mampu mendapat sambutan masyarakat setempat.“Saya berharap melalui penganjuran program ini dapat membantu merungkai permasalahan pemahaman dan kekeliruan dalam solat terhadap peserta yang hadir,” katanya.

Disediakan Oleh : Mohamad Amirul Shahzwan Bin Rosli (BC 12110074)

Apa Itu Tari???

Tari adalah keindahan ekspresi jiwa manusia yang diungkapkan dalam bentuk gerak tubuh badan manusia yang diperhalusi melalui estetika atau keindahan. Susanne k Langet menyatakan bahawa tari adalah gerak ekspresi manusia yang indah. Gerakan dapat dinikmati melalui rasa ke dalam penghayatan ritma tertentu. Haukim pula menyatakan bahawa tarian adalah ekspresi jiwa manusia yang diubah oleh imiginasi dan diberi bentuk melalui media gerak sehingga menjadi bentuk gerak yang simbolis dan sebagai ungkapan si pencipta ( Haukins:1990,2). Secara tidak langsung disini Haukin memberikan penekanan bahawa tari ekspresi jiwa menjadi sesuatu yang dilahirkan melalui media ungkap yang disamarkan. Disisi lain ditambahkan oleh La Mery bahawa ekspresi yang berbentuk simbolis dalam mewujudkan yang lebih tinggi harus diinternalisasikan.
          Dalam perkembangan tersebut, tari disampaikan oleh Soedargano bahawa tari merupakan ekspresi jiwa manusia yang diubah gerak ritmis yang indah. M.Jazuli dalam (soeryodiningart:1987,12-34) dikemukakan bahawa beliau boleh menekankan gerak tubuh yang berirama.  Hal ini kerana terdapat bahawa tari adalah gerak anggota tubuh yang selaras dengan bunyi muzik atau gemelan yang diaturkan oleh irama yang sesuai dengan maksud tujuan tari (soeryodiningrat:1986,21). Tari juga biasa dikatakan sebagai ungkapan ekspresi perasaan manusia yang diubah oleh imiginasi dibentuk media gerak sehingga menjadi gerak simbolis sebagai ungkapan koreografer. Sebagai bentuk latihan, tari digunakan untuk menyumbangkan kepekaan gerak, rasa, irama seseorang. Oleh sebab itu, tari dapat diperhalusi pekerti manusia yang mempelajarinya.
          Seni tari dipercayai di dalam kehidupan manusia sebagai salah satu alat komunikasi awal manusia dalam bahasa gerak dan bunyi yang mereka tiru dari alam disekitar kehidupan mereka. Pergerakan dan bunyi-bunyi semulajadi inilah yang melahirkan tarian-tarian awal yang berkaita rapat dengan kuasa-kuasa mistik. Sejak tarian wujud dan menjadi salah satu daripada aspek kebudayaan kita hanya dapat katakan bahawa gerak tari itu lahir serentak dengan kelahiran atau kewujudan manusia dialam ini. Memandangkan tarian merupakan salah satu alat komunikasi yang mana tidak memerlukan apa-apa peralatan untuk melakukan tarian kecuali tubuh badan penari.  Pada ketika itu, muzik yang terhasil daripada hentakan kaki dan tepukan tangan sahaja yang mengiringi para penari sejajar dengan keadaan tamadun awal manusia.
          Pada masa kini kebudayaan diertikan sebagai manifestasi kehidupan setiap orang atau masyarakat. Ianya meliputi segala perubatan manusia seperti dalam bidang kesenian seumpama tarian. Manakala tradisi pula difahami sebagai pewarisan atau penerusan norma-norma, adat istiadat dan sebagainya dan tradisi tersebut bukanlah sesuatu yang tidak boleh diubah, malah mengalami perubahan akibat perubahan sosial yang berlaku kerana pengaruh dan perkembangan teknologi dari luar, pertambahan penduduk, pengaruh-pengaruh universalisme dan aspirasi-aspirasi masyarakat.
          Menurut MOHD GHOUSE NASURUDIN (1994:xiii) dalam bukunya yang bertajuk Tarian Melayu menyatakan:’’......tarian satu bentuk universal perhubungan bukan lisan. Melaluinya kita dapat menghayati ciri-ciri budaya sesuatu suku kaum seperti nilai, norma, emosi dan tabiat semulajadi. Ia membentuk aspek integral dalam jalinan sosial dan menyediakan fungsi keagamaan atau sekular atau kedua-duanya, bergantung pada bentuk masyarakat itu.” Selain itu, beliau juga menyokong bahawa tarian pada mulanya tidak memerlukan sebarang peralatan atau alat muzik, kecuali tubuh badan manusia sahaja. Mereka mengadaptasi keadaan persekitaran ke dalam struktur dan abjad tarian. Tarian juga di hasilkan berdasarkan kefungsiannya dalam upacara keagamaan. Pada zaman moden ini, Mohd Ghouse Nasurudin menyatakan, `Tarian menjadi bahagian integral dan berfungsi dalam masyarakat manusia. Ia membentuk asas merasionalisasi fenomena semulajadi yang tidak dapat diduga atau dimengerti.’
          Kesimpulannya, tarian merupakan salah satu upacara atau aktiviti penting yang terdapat dalam golongan masyarakat di segenap dunia sabagai memperkenalkan budaya dan kaum masing-masing. Oleh hal yang demikian, setiap kaum telah mempunyai jenis tarian masing-masing untuk membezakan kaumnya dengan kaum lain. Perbezaan inilah yang menentukan adat dan budaya dalam kehidupan setiap kaum di dunia.

Oleh : Mohamad Amirul Shahzwan Bin Rosli (BC 12110074)


Isteri Sejati Dari Sisi Islam

Isteri sejati merupakan idaman setiap lelaki di dunia. Namun begitu, bukan mudah untuk mencari seorang wanita yang mampu menjadi isteri muslimah yang sejati. Apa yang dimaksudkan dengan isteri sejati sebenarnya? Juga apakah kriteria yang melayakkan seseorang wanita dianggap sebagai isteri yang benar-benar memenuhi syarat yang dikehendaki dalam islam. Menurut firman Allah s.w.t:

          “boleh jadi jika Nabi menceraikan kamu, Tuhannya akan menggantikan baginya   isteri-isteri yang lebih baik daripada kamu, yang menurut perintah, yang ikhlas         imannya, yang taat, yang bertaubat, yang tetap beribadat, yang berpuasa, meliputi yang janda dan anak dara.”
                                                                                      (Surah at-Tahrim: 5)
          Menerusi ayat tersebut, kita dapati bahawa isteri yang baik menurut terminologi al-Quran yang paling penting ialah wanita yang mengakui keesaan Allah s.w.t dan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. Perkara ini perlu diterjemahkan melalui setiap perbuatan yang nyata dan sesuai dengan apa yang mereka yakini di hati sendiri. Oleh itu, wanita-wanita yang hanya melafazkan iman dan pengakuannya tetapi tidak menunjukkan ciri-ciri yang dikehendaki dalam islam  dengan sendirinya tidak termasuk dalam kalangan wanita yang muslimah dan sejati.
          Dalam firman tersebut juga ada menyatakan beberapa syarat yang melengkapkan peribadi wanita yang bernama muslimah dan mukminah. Hal ini dapat dilihat melalui kebaikan dari tindak-tanduk seseorang wanita itu sendiri. Jika kita melihat kepada contoh dari Aisyah dan Hafsah sedikit sebanyak menunjukkan perasaan megah berdasarkan faktor keturunannya dan posisi ayahnya di sisi Rasulullah s.a.w. Hal ini telah menyebabkan mereka bersepakat melakukan pakatan tersebut. Memang kita akui bahawa keturunan mereka sangat mulia jika dibandingkan dengan Mariah al-Qitbiyah yang hanya seorang hamba sedangkan Aisyah puteri Abu Bakar as-Siddiq dan Hafsah puteri kepada Umar bin al-Khatab. Namun begitu, dalam islam faktor keturunan dan kecantikan tidak menjadi ukuran terhadap kemuliaan seseorang. Wanita yang lebih mulia ialah wanita yang patuh, beriman, bertaubat, beribadat, dan berpuasa. Begitu juga soal kecantikan wajah di mana yang menjadi ukuran hanya soal sejauh mana wanita itu mampu memelihara diri dan keluarganya.

          Sebagai kesimpulannya, seseorang yang mampu menjaga diri daripada terjerumus ke lembah maksiat, kesesatan dan syirik ia akan mendapat kebaikan diri dan keluarga. Corak peribadi  seorang ibu akan meresap ke dalam sikap dan sanubari keluarganya.

Disediakan oleh : Siti Aishah Aziz (BC 12110150)

Istilah Teater

Teater merupakan salah satu daripada cabang kesenian yang merupakan sejenis seni persembahan yang menggabungkan beberapa elemen penting. Antaranya ialah pergerakan badan, mimik muka dan vokal atau kelantangan suara. Teater telah muncul sebelum adanya sebarang tulisan di muka bumi. Menurut istilah dari Kamus Dewan edisi ketiga, teater bermaksud sebuah bangunan yang di dalamnya mempunyai pentas untuk mempersembahkan drama, muzik dan hiburan di mana terdapatnya tempat untuk penonton menyaksikan persembahan. Hal ini menunjukkan bahawa teater berfungsi sebagai alat komunikasi yang digunakan oleh karyawan pada zaman dahulu untuk menyampaikan ideologi mereka kepada masyarakat. Teater juga digunakan untuk mengkritik pihak pemerintah dan golongan atasan.
     Perkataan teater sebenarnya berasal daripada perkataan Yunani iaitu “theatron”(bahasa Inggeris:seeing place) yang bermaksud tempat atau gedung pertunjukkan. Dalam erti kata lain teater juga bermakna sebagai kehidupan kerana setiap perbuatan yang dilakukan oleh seseorang itu adalah persembahan hidup. Selain itu, teater juga dikatakan sebagai pertunjukkan seperti wayang, sinetron, sulap dan sebagainya. Ia menjadi manifestasi pembentukan sosial manusia yang berhubung dengan masalah ritual. Misalnya, upacara adat mahupun upacara kenegaraan. Kedua-duanya mempunyai unsure taktikal.
     Seterusnya, teater juga bermaksud satu gabungan kerja-kerja kreatif yang merangkumi semua unsur seperti muzik, pelakon dan pengarah. Semua unsur seni dan pengurusan berdasarkan naskah lakon yang dipersembahkan secara langsung kepada penonton yang hanya dipisahkan oleh ruang dan waktu sahaja. Bentuk kerja secara berpasukan antara artis dengan naskhah lakon di mana pelakon membawa watak di dalam produksi secara langsung di khalayak ramai. Teater merupakan satu bentuk persembahan lakonan yang boleh menghiburkan dan dipersembahkan secara langsung di sebuah tempat yang dikenali sebagai pentas.
     Menurut Peter Brooke, seorang pensyarah inggeris di dalam bukunya yang bertajuk “THE EMPTY SPACE”, beliau menyatakan bahawa sebuah persembahan  teater memerlukan pelakon untuk berlakon di atas kawasan khas serta ditonton oleh penonton. Secara amnya, sebuah persembahan teater itu merangkumi tiga asas penting iaitu pelakon, penonton dan pentas lakon. Kebanyakan sejarah awal teater tidak direkodkan. Oleh hal yang demikian, banyak siri ataupun pendapat mengenai asal-usul permulaan teater. Namun begitu, teori yang menjadi asas rujukan kebanyakan pengkaji sejarah Barat yang menyatakan bahawa persembahan teater ini wujud kerana upacara ritual serta mitos ketika zaman Greek ribuan tahun yang lampau.
          Istilah untuk merungkaikan makna teater itu terdapat pelbagai jenis mengikut persepsi tersendiri. Oleh itu, penggunaan istilah teater boleh dimaksudkan sebagai salah satu persembahan pentas yang bertujuan untuk menyampaikan maklumat dan mesej kepada penonton.


Oleh : Mohamad Amirul Shahzwan Bin Rosli (BC 12110074)

Keindahan taman pertanian lagut seberang, tenom


Negeri Sabah bukan lagi menjadi asing bagi saya. Sabah telah menarik minat saya untuk terus tinggal di Negeri di Bawah Bayu ini kerana tarikan alamnya yang begitu indah. Negeri ini bukan sahaja memiliki pulau-pulau yang cukup indah, malah juga memiliki kehijauan alam yang begitu menarik. Bagi anda yang sudah tiba ataupun masih dalam perancangan untuk melawat negeri Sabah, dengan perasaan tangan terbuka saya mengesyorkan anda untuk ke Taman Pertanian Lagut Seberang.
Kawasan Taman Pertanian ini sangat luas dan memiliki beberapa taman bunga yang menarik. Antaranya Taman Bunga Ala-ala Inggeris dan Pusat Anggerik Kacukan. Jika anda kke taman ini, anda tidak perlu berjalan kaki untuk melawat semua taman ini. ia hanya memenatkan anda. Di taman ini, telah tersedia keretapi yang sangat unik untuk membawa anda meronda ke seluruh kawasan ini dengan rasa puas hati.  
Pengalaman yang dilalui mesti dikongsi bersama sahabat yang masih belum mengetahui tentang salah satu tempat yang harus dilawati di negeri Sabah. Walaupun hanya sehari saya sempat ke tempat ini, namun pelbagai kehijauan dan keindahan dapat saya lihat. Perasaan teruja dan gembira sentiasa bermain setiap kali melihat keindahan ciptaan yang Maha Pencipta.

Sebahagian daripada pengalaman untuk tatapan pembaca semua….enjoy it..


Salah satu pokok besar yang berusia puluhan tahun









Article by : SITI AISHAH BINTI AZIZ (BC12110150
Photographer : MOHAMAD AMIRUL SHAHZWAN BIN ROSLI (BC12110074)

Isu Pencerobohan Di Lahad Datu

Isu pencerobohan di Lahad Datu telah menjadi isu yang semakin hangat diperkatakan di seluruh negara. Pencerobohan yang berlaku ini amat membimbangkan segenap masyarakat negara terutama penduduk di Sabah. Perkara ini boleh menjejaskan ekonomi negeri yang banyak mendapat sambutan dari segi eko-pelancongan kerana keindahan yang terdapat  di negeri di Bawah Bayu ini. Oleh itu, sebagai rakyat yang cinta akan negeri sendiri kita perlu bertanggungjawab dalam mencari kebenaran dalam setiap yang berlaku. Kita perlu merungkai dari mana datangnya masyarakat Suluk yang telah menceroboh Lahad Datu dengan sewenang-wenangnya.
            Menurut Encik Wan Sharuddin bin Wan Hussin iaitu pensyarah dari Sekolah Sains Sosial (SSS) yang telah membuat kajian berkenaan Komuniti Suluk dalam Konteks Operasi di Sabah telah menjawab setiap pertanyaan yang bermain dibenaknya sebelum ini. Kajian yang beliau telah jalankan tertumpu kepada penilaian yang dibuat melalui beberapa kajian soal selidik. Kajiannya lebih merujuk kepada kaedah kutipan data, membincangkan latar belakang suku Suluk di Sabah, meninjau reaksi suku Suluk selepas Tanduo dan menyentuh isu-isu berhubung dengan suku Suluk di Sabah. Perkara pertama yang dijalankan ialah berkenaan dengan kaedah kutipan data. Beliau telah mengadakan temubual dengan beberapa orang responden dari Tawau, Kota Kinabalu dan Lahad Datu. Sesi temubual ini telah dibuat melalui panggilan telefon dan ia dikatakan penyampaian maklumat melalui sumber sekunder.
            Suku Suluk atau Sulug merujuk kepada mereka atau mempunyai keturunan yang berasal dari Selatan Filipina terutama di Jolo, Tawi-Tawi, Maimbong, Parang dan pulau-pulau yang berhampiran dengannya. Mereka kini berkemungkinan telah menjadi rakyat Malaysia atau memiliki dokumen IMM13 dan telah menetap di negara ini. Dalam Sabah Notive Ordinance 1954, suku Suluk dikatakan sebagai sebahagian Bumiputera Sabah. Di Selatan Filipina, mereka ini dikenali sebagai Taosug atau Orang Arus (Kiefer 1986). Tambah Kiefer lagi, apabila seseorang menyatakan saya orang Taosug, ianya akan memberikan tiga makna utama. Pertamanya ialah dia merupakan seorang yang berbahasa Taosug dan mengamalkan bentuk adat tertentu yang berbeza dari suku islam yang lain. Makna yang keduanya ialah dia adalah seorang yang mempuyai ketaatan kepada institusi politik dan perundangan Kesultanan Taosug di Jolo. Makna yang ketiganya pula ialah dia merupakan seorang islam.
            Dari segi sejarah pula, Kesultanan Sulu sangat berkait rapat dengan pantai timur Borneo. Perdagangan Sultan Sulu dengan China dan Barat yang menguntungkan telah menyebabkan sebilangan Datu dan kerabat Sultan bersama pengikut mereka telah mengharungi Laut Sulu dan Laut Sulawesi untuk memulakan penghidupan baru di kawasan pantai-pantai di Selatan Kepulauan Filipina, Utara Kepulauan Sulawesi dan di pantai Timur Pulau Borneo. Pantai Timur Borneo memang terkenal dalam menghasilkan sarang burung, kapur barus, rotan, tripang, mutiara yang sememangnya mendapat permintaan yang besar di benua China. Pantai Timur Borneo juga diperolehi oleh Sultan Sulu sebagai ganjaran kerana membantu Sultan Brunei menghadapi pemberontakan daripada pihak pemberontak. (M.Raduan M.Arif,t;t ).
            Menurut hasil kajian Encik Sharuddin, kebanyakan suku Suluk di Sabah tingaal di sekitar Kampung Air (Wan Shawaluddin & Ramli). Hal ini tidak dapat dielakkan memandangkan suku Suluk dikaitkan dengan aktiviti maritim terutamanya perikanan. Suku Suluk merupakan antara 72 yang disenaraikan oleh Museum Sabah pada tahun 2010. Berdasarkan sumber Jabatan Perangkaan, jumlah suku Suluk di Sabah keseluruhannya seramai 79205 orang pada tahun 2010. Daerah Sandakan merupakan daerah terbesar yang memiliki suku Suluk dengan jumlah sebanyak 22 290 orang diikuti oleh daerah Kota Kinabalu seramai 11 412 orang dan Lahad Datu sebanyak 10 709 orang ( Jabatan Perangkaan, 2010).
            Melalui kajian yang dijalankan juga, pelbagai  reaksi dari masyarakat terhadap peristiwa yang berlaku di Tanduo telah dirakam oleh Encik Sharuddin. Menurut temubualnya bersama seorang peniaga yang ditemui di Kota Kinabalu iaitu Puan Dayang Khatijah, peristiwa itu tidak bagus untuk perniagaannya dan ianya telah menjejaskan hasil rezeki peniaga tempatan. Selain itu, menurut salah seorang bekas anggota polis iaitu Rasul (bukan nama sebenar). Beliau melahirkan rasa marah terhadap penceroboh yang cuba memasuki dan menceroboh negara ini.

            Disebabkan perkara yang telah berlaku di Tanduo, pelbagai isu telah dikaitkan dengan masyarakat Suluk di Sabah. Mereka telah cuba untuk menekankan perbezaan Suluk Malaysia berbanding Taosug di Filipina. Hal ini juga dapat dilihat melalui isu tentang kesetiaan suku Suluk di Malaysia terhadap negara dan mengelakkan tindakan tidak adil ke atas kakitangan kerajaan yang berketurunan Suluk. Encik Sharuddin telah menyifatkan bahawa insiden yang berlaku pada bulan Februari dan Mac yang lalu telah meninggalkan impak yang sangat signifikan kepada suku Suluk di Sabah. Ianya benar-benar menguji kesetiaan kaum Suluk terhadap negara yang tercinta. Dendam Taosug akan terus membara bagi meneruskan tuntutan terhadap Sabah. Oleh itu, usaha perlu dibuat oleh pihak kerajaan bagi menggembleng kembali tenaga bagi memupuk semangat cintakan negara dalam kalangan suku Suluk di Sabah dan sanggup berkorban demi negara untuk mempertahankannya dari pihak musuh di luar.

Antara wira-wira yang gugur semasa pertempuran












SITI AISHAH BINTI AZIZ (BC12110150)   

Sunday, 5 January 2014


KATA- KATA HIKMAH

LOMBONG EMAS DALAM DIRI KITA IALAH FIKIRAN ANDA DAN ANDA BOLEH MENGGALINYA SEPUAS YANG ANDA INGINKAN.

(Abdullah Mansur M.H.)

 
BERSENDIRIAN LEBIH BAIK DARIPADA MENCARI TEMAN DARIPADA KALANGAN ORANG JAHAT DAN MENCARI TEMAN DARIPADA ORANG YANG BAIK ADALAH LEBIH BAIK DARIPADA BERSENDIRIAN.

(Abu Dzar)

 
Bangsa yang ingin maju mestilah memajukan bahasanya.

(Andre Colin)

 
KETENANGAN YANG MEMBUATKAN KITA TERLENA MUNGKIN LEBIH BERBAHAYA DARIPADA RIBUT YANG MEMBUATKAN KITA TERJAGA.

(Billy Lim)

 
Kegagalan bukan bererti kehancuran, tetapi jadikan kegagalan sebagai batu loncatan untuk menuju kejayaan.

 (Daniel Webster)

 
JANGAN BERTENGKAR DENGAN ORANG YANG KURANG AKAL NANTI IA AKAN MENYAKITKAN KAMU DAN JANGAN BERTENGKAR DENGAN ORANG YANG PENYANTUN, NANTI DIA AKAN BENCI PADAMU.

(Ibnu Abbas)

 
APABILA DASAR SUATU CITA- CITA MULIA, PERJALANANNYA MENJADI SUKAR DAN MEMERLUKAN PENGORBANAN YANG BANYAK.

(Iman AL- GHAZALI)

 
SETIAP KALI ILMU BERTAMBAH, AKU BERTAMBAH KENAL AKAN KEBODOHANKU.

(IMAN SHAFIE)

 
JANGAN MELIHAT APA YANG TELAH KAMU USAHAKAN, TETAPI LIHATLAH APA YANG BELUM KAMU SELESAIKAN.

(JOHN RUSKIN)

 
UNTUK MENGENAL AKHLAK DAN PERIBADI, IAITU ADAB SESEORANG, BERIKAN KUASA KEPADANYA, KEMUDIAN LIHAT CARA DIA BERTINDAK.

(MONTESQUIEU)

 
HANYA SETELAH ANDA MENURUNI LEMBAH YANG TERDALAM BARULAH ANDA DAPAT MENILAI KEINDAHAN GUNUNG YANG TERTINGGI.

(RICHARD NIXON)

 
ILMU PENGETAHUAN  ITU SUMBER SINAR JIWA MANUSIA, SEMENTARA HARTA KEKAYAAN ITU BERKEMUNGKINAN MEMBERIKAN KEGELAPAN.

(SAYIDINA ALI)

 

PENULIS: NINA AISHAH BINTI RAMALI

MATRIK: BC 12160190